suria

Lima bulan kerja bertungkus lumus tak kira masa, warga KKM bakal nikmati ‘time off’ secara bergilir

KKM akan memberikan ‘time off’ secara bergilir kepada warga kerjanya sebelum membuat perancangan yang baharu dari segi tenaga kerja dan peralatan. Foto: Bernama

KEMENTERIAN Kesihatan Malaysia (KKM) menggunakan tempoh satu hingga dua minggu akan datang untuk memberikan ‘time off’ secara bergilir kepada warga kerjanya sebelum membuat perancangan yang baharu dari segi tenaga kerja dan peralatan.

Perkara itu dimaklumkan oleh Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah dalam sidang media harian berhubung perkembangan Covid-19, Selasa.

ARTIKEL BERKAITAN: 30 kes baharu positif Covid-19, lelaki usia 47 tahun korban terbaharu

"Barisan hadapan kesihatan dan juga kita di KKM bekerja siang malam tak berhenti selama lima bulan... tak kenal hari minggu atau hari kerja.

"Tapi hari ini yang pasti kita nampak hasil pengorbanan kita di mana kes semakin berkurangan. Begitu juga kita lihat penggunaan wad ICU dan wad Covid-19 berkurangan.

"Jadi mungkin kita sedang melihat dalam seminggu dua ini untuk kita beri 'time off' kepada warga kerja KKM secara bergilir dan kita akan kaunseling mereka agar dapat pertahankan kalau ada peningkatan kes lagi," ujarnya dalam sidang media tersebut.

Menurutnya, perancangan baharu yang akan dilakukan adalah meliputi pelbagai aspek dan bukan daripada sudut tenaga kerja semata-mata.

"Perancangan baharu atau re-strategize tenaga kerja, peralatan, hospital, makmal dan di fasiliti kesihatan awam.

"Kita mahu bersedia untuk apa jua kemungkinan namun tetap mengharapkan yang terbaik. Ini adalah dugaan dan cabaran kita semua daripada barisan hadapan hingga warga KKM.

"Apa yang pasti kita adalah pertahanan terakhir untuk mengelakkan bencana besar kepada negara iaitu melibatkan kematian dan pertambahan kes," ujarnya sambil turut menzahirkan ucapan terima kasih kepada semua petugas barisan hadapan termasuk polis, tentera dan semua agensi yang telah bekerja keras untuk memastikan kes Covid-19 dapat dibendung.

Malaysia pada Selasa merekodkan 30 kes positif Covid-19 yang baharu, merupakan antara jumlah terendah yang dicapai sejak Mac lalu.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Sebelum

Artikel Lain