suria

Ismail Sabri nafi dua lokasi baharu PKPD, tapi akui keluar masuk lebih ketat daripada biasa

Kelihatan anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) melakukan kerja-kerja memasang kawat duri di sekitar kawasan Chow Kit awal pagi Selasa. Foto Bernama

SETAKAT ini tiada kawasan baharu yang diisytiharkan dan diletakkan di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD), kata Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengesahkan laporan yang menyebut kawasan di Selayang, Selangor dan Chow Kit di Kuala Lumpur sebagai lokasi PKPD baharu pada Selasa.

"Belum. Selagi saya tak umumkan maknanya tak ada PKPD. Tetapi sesetengah tempat itu kita perketatkan kawalan secara pentadbiran.

"Mungkin kita kawal dengan kawat duri dan sebagainya tetapi kita tidak isytiharkan PKPD lagi. Tetapi kita kawal dari segi keluar masuk dengan lebih ketat daripada biasa," katanya pada sidang media harian, petang Selasa.

Walaupun kawalan diperketatkan secara pentadbiran, Ismail Sabri berkata pihak berkuasa menjalankan ujian swab ke atas penduduk setempat.

Terdahulu, terdapat laporan yang menyebut bahawa dua kawasan di Selayang dan Jalan Raja Bot telah diletakkan di bawah PKPD.

Laporan tersebut mendakwa bahawa dua kawasan tersebut merupakan Taman Wilayah dan Taman Desa Bakti di Selayang, dan Jalan Raja Bot yang melibatkan pasar Chow Kit.

Dilaporkan, kawasan-kawasan tersebut ditutup oleh pihak berkuasa pada awal pagi Selasa.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain