suria

Beza hukuman bukan sebab dua darjat - Ismail Sabri

Gambar yang membabitkan Dr Noor Azmi dan Razman yang tular di media sosial.

PERBEZAAN hukuman berkaitan pelanggaran Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tidak mempunyai kaitan dengan status kedudukan pesalah, tegas Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata, ia sebabkan oleh perbezaan undang-undang dan pertuduhan masing-masing.

“Bila sebut RM1,000 saya tahulah ia berkaitan dengan timbalan menteri dan exco daripada Perak. Ramai netizen yang membandingkan.

“Tiada siapa yang mengatasi undang-undang di negara kita. Dan kerajaan bersikap adil kepada semua, sesiapa yang melanggar undang-undang akan diambil tindakan tanpa mengira sebarang kedudukan.

“Ini jelas apabila dua VVIP kita telah dihukum di mahkamah. Sebagai contoh, dua VVP kita, mereka hanya melanggar SOP (prosedur operasi standard) dari segi pematuhan PKP, bukan melanggar perintah,” katanya pada sidang media harian, petang Rabu.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas pertikaian netizen mengenai perbezaan hukuman denda RM1,000 dan penjara berkaitan dengan PKP.

Merujuk kepada kes membabitkan Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali dan Exco Perak, Razman Zakaria, Ismail Sabri menjelaskan bahawa kedua-duanya merupakan wakil rakyat yang dibenarkan keluar bertugas semasa PKP.

“Bahawa wakil rakyat merupakan individu yang dibenarkan keluar untuk bertugas sewaktu PKP, jaga kepentingan rakyat.

“Sudah tentu mereka dibebaskan untuk bergerak keluar untuk beri bantuan dan kebajikan kepada rakyat, jadi mereka dibenarkan,” katanya.

Beliau menambah, kesalahan kedua-dua wakil rakyat berkenaan adalah disebabkan oleh SOP seperti tidak melakukan penjarakkan sosial.

“Jadi, tindakan mereka dikenakan di bawah Akta 342 Peraturan 6(1) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) dengan hukuman maksimum RM1,000. Sebab itu mereka dihukum, hukuman tu pun maksimum.

“Ramai yang dipenjara yang bukan kesalahan di bawah PKP semata-mata, tetapi kesalahan lain di bawah kanun keseksaan. Contohnya, ditangkap kerana menghalang tugas penjawat awam, melawan dan bergaduh dengan polis, langgar sekatan jalan raya.

“Yang dipenjara bukan hanya PKP, langgar SOP tapi dipenjara sebab kesalahan lain di bawah kanun keseksaan dan sebagainya sebab itu hukumannya berbeza, bukan dua darjat seperti yang digambarkan di luar sana,” katanya.

Terdahulu, Dr Noor Azmi, 59, dan Razman, 60, masing-masing didenda RM1,000 selepas mengaku bersalah di atas tuduhan melanggar PKP di Mahkamah Majistret, Perak.

Ia susulan beberapa keping gambar Dr Noor Azmi, Razman dan beberapa individu berkumpul menikmati jamuan di Lenggong, tular di media sosial.

Artikel Lain