suria

Perhimpunan tak digalakkan antara 6 bulan hingga setahun selepas PKP berakhir - Dr Noor Hisham

Sebarang perhimpunan beramai-ramai dalam tempoh enam bulan ke setahun tidak digalakkan KKM.

KEMENTERIAN Kesihatan Malaysia (KKM) tidak menggalakkan sebarang perhimpunan beramai-ramai dalam tempoh enam bulan ke satu tahun.

Demikian kata Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah menerusi sidang media pada Jumaat petang.

Tambahnya, ia termasuklah penganjuran bazar Ramadan yang jika dijalankan sekali pun, pasti berbeza dengan apa yang dijalankan sebelum ini.

ARTIKEL BERKAITAN: Terus meningkat! Malaysia catat 217 kes baharu Covid-19, tiga lagi meninggal dunia

"Walaupun Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) fasa kedua tamat dua minggu lagi, amalan kita dah berubah daripada normal. Contohnya, kita dah tak bersalam, kita kerapkan basuh tangan dan ada penjarakan selamat sekurang-kurangnya satu meter.

"Amalan perhimpunan... contohnya enam bulan atau setahun, kita akan lihat, tak galakkan langsung perhimpunan beramai-ramai.

"Jadi dari segi bazar Ramadan, mungkin kita perlu adakan idea kreatif dan inovasi. Yang mana kita lihat dalam fasa 1 PKP, penghantaran makanan ke rumah meningkat 70 peratus. Mungkin kita boleh uar-uarkan e-Bazar," ujarnya.

Datuk Dr Noor Hisham Abdullah.

Katanya lagi, perkara berkenaan akan dilihat mengikut garis panduan KKM.

Pada Rabu, bekas Ketua Pengarah kesihatan, Tan Sri Dr Ismail Merican turut membuat gesaan sama.

Ujarnya, orang ramai perlu mengelakkan sebarang perhimpunan seperti bazar Ramadan dan kenduri kahwin dalam tempoh sekurang-kurangnya enam bulan selepas PKP berakhir.

"Kenapa enam bulan? Ia bagi mengelakkan kes tanpa simptom atau kes ringan yang mungkin menular dalam komuniti, ataupun disebarkan mereka yang baru pulang dari luar negara.

"Bagus jika kita teruskan amalan berjaga-jaga, mengekalkan kebersihan diri dan hanya keluar bila perlu," ujarnya kepada The Star.

Artikel Sebelum

Harga minyak turun lagi!

Artikel Lain