suria

Ada lagi yang ingkar! 116 ditahan kerana hadir solat Jumaat, 5 masjid masih buat sembahyang jemaah

Umat Islam di negara ini juga dinasihatkan menggantikan solat Jumaat dengan solat zuhur di rumah masing-masing. - Gambar sekadar hiasan

MESKIPUN orang ramai diarahkan untuk menghentikan segala bentuk aktiviti keagamaan di semua masjid bagi mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), masih terdapat kumpulan dan individu yang ingkar.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata seramai 116 jemaah ditahan kerana menghadiri solat Jumaat di sebuah masjid.

"Semalam di satu daerah solat Jumaat masih diadakan walaupun arahan untuk solat di rumah sudah dikeluarkan. 

ARTIKEL BERKAITAN: Umat Islam disaran solat hajat serentak seluruh negara esok... mohon kesejahteraan hadapi situasi terkini

"Akibatnya seramai 116 telah ditahan pihak polis," katanya pada sidang media petang Sabtu.

Bagaimanapun, beliau enggan mendedahkan lokasi masjid tersebut.

"Bayangkan 116 jemaah berhimpit. Nak rapatkan saf tak boleh renggangkan 1 meter penjarakan sosial. Jadi kita tutup masjid itu.

"Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) dah pun keluarkan arahan tersebut jadi harap semua patuh," katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata terdapat lima masjid yang masih menjalankan solat berjemaah.

"Saya harap tak berlaku keingkaran terhadap PKP yang diperkenalkan. Untuk keselamatan orang ramai patuhi arahan ditetapkan," katanya. 

Pada 19 Mac lalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata solat Jumaat tidak perlu diadakan sehingga 31 Mac bagi memutuskan rantaian penularan wabak Covid-19.

Katanya, perkara itu selari dengan Perintah Kawalan Pergerakan yang sedang dilaksanakan.

Justeru beliau meminta umat Islam di negara ini juga dinasihatkan menggantikan solat Jumaat dengan solat zuhur di rumah masing-masing.

PKP, solat Jumaat, Covid-19, Ismail Sabri

Artikel Lain