suria

Penghuni dalam komuniti berpagar tak terkecuali, arahan PKP menyeluruh kepada semua rakyat - Ismail Sabri

Terdapat individu yang tinggal dalam komuniti berpagar ditahan kerana keluar berjoging dalam tempoh PKP. Foto:Commons.wikimedia.org.

PERATUS pematuhan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) semakin meningkat kepada 97 peratus.

Demikian kata Menteri Kanan (Pertahanan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menerusi sidang media pada Sabtu.

Namun katanya, masih ada sebilangan individu yang ingkar arahan itu termasuklah mereka yang berada dalam gated community (komuniti berpagar).

ARTIKEL BERKAITAN: Langgar arahan PKP... 9 warga asing dan 2 lelaki tempatan degil ditahan berjoging di Mont Kiara, Desa Kiara

"Dari segi perintah ini, ia merangkumi semua pihak walaupun dalam gated community. Semalam (Jumaat) ada kes, ada masyarakat kita di dalam gated community ingkar buat larian, joging beramai-ramai dan sebagainya.

"Mereka telah pun diambil tindakan dan kita harap ia tidak berlaku lagi. Walaupun gated community, perintah tetap dikenakan kepada sesiapa sahaja di luar atau dalam pagar.

"Di mana-mana pun, ia (arahan) menyeluruh kepada semua rakyat," ujar Ismail.

Tambah Ismail, dalam tempoh 48 jam lepas sahaja, hampir 400 tangkapan dibuat kerana ingkar arahan PKP.

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Malah, masih banyak kenderaan di jalan raya sekali gus menunjukkan masih ada yang tidak patuh kepada arahan.

"Hari ini saya dihantar satu video, kesesakan jalan raya di ibu negara dan Selangor. Masih ada yang yang tak patuh arahan," ujarnya lagi.

Terdahulu pada Jumaat menerusi laporan mStar, 11 lelaki merangkumi dua rakyat tempatan dan sembilan warga asing ditahan kerana keluar berjoging di sekitar Jalan Mont Kiara dan Jalan Desa Kiara.

"Mereka yang ditahan terdiri daripada dua orang lelaki warganegara Malaysia, seorang lelaki warganegara United Kingdom, seorang lelaki warganegara Amerika Syarikat, empat orang lelaki warganegara Jepun, dua orang lelaki warganegara Korea dan seorang lelaki warganegara India.

"Mereka ditahan sewaktu keluar berjoging kerana melanggar tempoh PKP. Mereka tidak menghiraukan nasihat pegawai polis dan memberikan alasan tidak munasabah," kata Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim.

 

joging, gated community, PKP, Covid-19

Artikel Lain