suria

Langgar arahan PKP... 9 warga asing dan 2 lelaki tempatan degil ditahan berjoging di Mont Kiara, Desa Kiara

Jika bersalah, mereka boleh didenda RM1000.00 atau penjara tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

SERAMAI 11 lelaki termasuk sembilan warga asing ditahan kerana berjoging di sekitar Mont Kiara, Kuala Lumpur dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Perkara itu disahkan Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim.

ARTIKEL BERKAITAN: Dua lagi meninggal dunia akibat Covid-19, jumlah keseluruhan 26 kematian

Ujarnya, mereka yang ditahan terdiri daripada dua orang lelaki warganegara Malaysia, seorang lelaki warganegara United Kingdom, seorang lelaki warganegara Amerika Syarikat, empat orang lelaki warganegara Jepun, dua orang lelaki warganegara Korea dan seorang lelaki warganegara India.

Mereka ditahan di sekitar Jalan Mont Kiara dan Jalan Desa Kiara antara 7.30 pagi sehingga 9.30 pagi, Jumaat.

"Mereka ditahan sewaktu keluar berjoging kerana melanggar tempoh PKP.

"Mereka tidak menghiraukan nasihat pegawai polis dan memberikan alasan tidak munasabah," ujarnya sewaktu dihubungi.

Kes tersebut disiasat di bawah Peraturan 7(1) Peraturan-peraturan Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020.

Jika bersalah, mereka boleh didenda RM1000.00 atau penjara tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Kertas siasatan juga akan dirujuk kepada Pejabat Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan lanjut selepas ini.

Sesiapa yang mempunyai soalan atau maklumat boleh menghubungi Polis KL di talian 03-2115 9999.- The Star.

jogging, Mont Kiara, Mont Kiara

Artikel Lain