suria

Agong bimbang peningkatan kes Covid-19, titah rakyat beri kerjasama kepada KKM

Al-Sultan Abdullah menzahirkan kebimbangan baginda dengan peningkatan kes Covid-19. Foto: Bernama

RAKYAT Malaysia perlu memainkan peranan membantu Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dalam menangani penularan jangkitan Covid-19 di negara ini, demikian titah Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin dalam kenyataan pada Sabtu berkata Seri Paduka turut menzahirkan kebimbangan berikutan pengesanan 28 kes baharu jangkitan Covid-19 pada Jumaat.

Justeru, Ahmad Fadil berkata Al-Sultan Abdullah menyeru rakyat memberi kerjasama sepenuhnya kepada KKM bagi proses siasatan dan mengenal pasti kontak rapat pesakit baharu tersebut agar jangkitan Covid-19 dibendung dengan segera dan berkesan.

ARTIKEL BERKAITAN: Covid-19: Malaysia catat 28 kes baharu, kontak rapat sedang dikenal pasti

“Seri Paduka bertitah rakyat turut digesa untuk menghubungi Khidmat Nasihat Kesihatan Dalam Talian atau Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Krisis Negara CPRC), melalui laman sesawang KKM untuk sebarang keraguan dan pertanyaan serta maklumat,” katanya.

Beliau berkata Yang di-Pertuan Agong turut menasihatkan rakyat supaya patuh kepada panduan dan langkah pencegahan yang dikeluarkan KKM untuk mengelak penularan Covid-19.

Katanya, Yang di-Pertuan Agong turut menasihatkan penganjur-penganjur majlis menjalankan saringan gejala dan sejarah perjalanan ke China dalam tempoh 14 hari kebelakangan dari tarikh program terhadap peserta selain menyediakan hand sanitiser (cecair pembasmi kuman) yang mencukupi bagi kegunaan peserta.

Ahmad Fadil berkata Al-Sultan Abdullah turut menzahirkan penghargaan dan terima kasih atas tindakan segera, rawatan dan pemantauan berterusan oleh KKM serta agensi berkaitan dalam usaha memastikan langkah pencegahan dan kawalan sewajarnya dilaksana secara berkesan.

“Seri Paduka turut menzahirkan penghargaan atas usaha KKM dalam menjalankan siasatan dan aktiviti pengesanan kontak rapat bagi mengenal pasti punca di mana kes mendapat jangkitan dan seterusnya mencegah penularan jangkitan tersebut.

“Al-Sultan Abdullah menyeru rakyat untuk bersama-sama baginda berdoa memohon ihsan Allah SWT supaya Malaysia dan dunia dilindungi daripada wabak berkenaan serta memudahkan pihak berkuasa tempatan dan di kawasan terjejas menangani gejala wabak ini,” katanya.

Pada Jumaat, KKM mengesahkan penambahan 28 kes positif Covid-19 menjadikan jumlah kumulatif kes positif virus itu di Malaysia sebanyak 83 kes. - BERNAMA

Artikel Lain