suria

Covid-19: Malaysia catat 28 kes baharu, kontak rapat sedang dikenal pasti

Operasi pembersihan sanitasi secara menyeluruh bagi menangani penularan jangkitan COVID-19. Foto Bernama

WABAK koronavirus 2019 (Covid-19) di Malaysia mencatatkan 28 kes baharu, menjadikan kes keseluruhan di negara ini sebanyak 83 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, kesemua kes tersebut dikesan untuk rawatan selanjutnya. 

“Kontak-kontak rapat kes-kes ini juga sedang dikenal pasti untuk siasatan dan pengambilan sampel selanjutnya.

ARTIKEL BERKAITAN: Covid-19: 5 lagi individu disahkan positif, juga kontak kes ke-26

“Ini menjadikan jumlah kumulatif kes positif Covid-19 di Malaysia adalah sebanyak 83 kes. Kes-kes positif ini adalah dalam kalangan pesakit di bawah pemantauan (PUI), kontak rapat dan misi bantuan kemanusiaan,” katanya dalam satu kenyataan.

Daripada jumlah itu, Dr Noor Hisham berkata, daripada 83 pesakit, 65 rakyat tempatan, 15 warga China serta masing-masing seorang penduduk Amerika Syarikat, Jepun dan Itali.

“Sehingga kini, sebanyak 956 kontak rapat telah dikenal pasti. Daripada jumlah ini, sebanyak 258 kontak rapat kepada kluster yang berkaitan dengan kes ke-26 telah dikesan dan telah diambil sampel. 

“Daripada kluster ini, 18 orang telah disahkan positif Covid-19, 70 lagi negatif namun begitu mereka diletakkan di bawah perintah pengawasan dan pemerhatian di rumah untuk tempoh 14 hari.

“Manakala seramai 170 orang lagi telah berjaya dikesan dan masih menunggu keputusan makmal. Mereka ini juga telah diletakkan di bawah perintah pengawasan dan pemerhatian di rumah,” katanya.

Sementara itu, Dr Noor Hisham berkata, kes ke-24 yang disahkan positif Covid-19 sebelum ini telah pulih dan dibenarkan discaj daripada Hospital Kuala Lumpur (HKL). 

“Kes ini telah berjaya dirawat, semua kontak rapat bagi kes ini telah berjaya dikesan dan penularan Covid-19 bagi kluster in telah berjaya dibendung.

“Ini menjadikan 23 kes telah pulih sepenuhnya setakat ini dari Covid-19 dan telah discaj daripada wad,” katanya.


Covid-19, Dr Noor Hisham

Artikel Lain