suria

Sah! Latheefa Koya letak jawatan KP SPRM

Latheefa Koya bertemu dengan Muhyiddin pada Khamis bagi menjelaskan keputusannya untuk meletak jawatan.

DESAS desus Latheefa Koya meletak jawatan sebagai Ketua Pesujuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akhirnya terjawab.

Latheefa Koya dalam satu kenyataan media pada Jumaat mengesahkan sudah meletakkan jawatannya.

Malah beliau sudah menyerahkan surat peletakan jawatan  kepada Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 2 Mac lalu.

"Ia keputusan saya sendiri. Spekulasi yang mengatakan saya ditekan (untuk letak jawatan) tidak berasas.

"Hasrat saya adalah untuk kembali menjadi pendukung hak asasi manusia," katanya.

Latheefa berkata beliau telah bertemu dengan Muhyiddin pada Khamis dan menjelaskan keputusannya untuk meletak jawatan.

"Kami berbual mesra dan beliau (Muhyiddin) faham pendirian saya," katanya.

Dalam pertemuan itu juga, Latheefa berkata dia turut memberi penerangan ringkas kepada Muhyiddin tentang usaha dan tindakan yang sedang dilakukan SPRM untuk mendapatkan semula dana 1MDB dari luar negara.

"Beliau amat menyokong tindakan ini.

"Saya juga ambil kesempatan untuk mengucapkan selamat maju jaya kepada beliau dan kerajaan baru dalam memperbaiki kebajikan dan kepentingan rakyat," katanya.

Tambah Latheefa lagi, dia sudah berjumpa dan memberi taklimat kepada timbalannya, Datuk Seri Azam Baki dan ketua-ketua jabatan SPRM bagi memastikan penyerahan tugas berjalan lancar.

"Segalanya berjalan seperti biasa di SPRM, di tangan pegawai-pegawai saya yang berkebolehan.

"Saya meninggalkan jawatan saya dengan keyakinan penuh bahawa SPRM akan terus tidak berkompromi dan tanpa lelah melawan rasuah, tanpa mengambil kira kedudukan atau sokongan politik perasuah.

"Saya berterima kasih kepada bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad, rakan setugas di SPRM dan rakyat yang memberi sokongan selama saya menjadi ketua pesuruhjaya SPRM.

"Semoga Tuhan merahmati negara kita," katanya.

Latheefa dilantik sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM ke-14 untuk tempoh kontrak dua tahun bermula 1 Jun 2019 hingga 31 Mei 2021.

Latheefa Koya, SPRM, letak jawatan

Artikel Lain