suria

Selepas minta maaf, Ahmad Zahid terlepas tuduhan hina mahkamah

Pertuduhan hina mahkamah selesai selepas Ahmad Zahid memohon maaf kepada Hakim Mahkamah Tinggi pada prosiding Selasa.

BEKAS Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dilepaskan daripada pertuduhan menghina mahkamah selepas Mahkamah Tinggi di ibu negara, mendengar permohonan maaf beliau kerana tidak dapat menyerahkan (bukti) surat jemputan ke mesyuarat bagi membincangkan barisan Kabinet sebagaimana dijanjikan, pada Isnin.

Presiden Umno itu berkata, surat berkenaan sepatutnya dikeluarkan oleh pegawai yang bertugas namun tidak dapat dikeluarkan kerana urusan angkat sumpah belum diadakan.

“Saya sudah berhubung dengan Setiausaha Politik Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin namun beliau tidak dapat mengeluarkan surat itu atas faktor lantikan atau majlis angkat sumpah secara rasmi belum diadakan.

“Saya mohon maaf kepada Yang Arif atas kekeliruan yang timbul dan saya tidak berniat untuk menimbulkan kekeliruan kepada mahkamah yang mulia ini,” katanya.

Sementara itu, peguam, Hisyam Teh Poh Teik yang mewakili Ahmad Zahid berkata, beliau memberi jaminan kepada mahkamah, kejadian seumpama itu tidak akan berulang selain memaklumkan anak guamnya sentiasa memberi kerjasama yang baik sepanjang perbicaraan tersebut berlangsung.

“Anak guam saya sedia memohon maaf di atas kejadian itu dan beliau tidak berniat untuk mengambil kesempatan kepada mahkamah.

“Beliau tidak berniat untuk menghina mahkamah kerana kejadian itu adalah satu salah faham,” katanya.

Semalam, Timbalan Pendakwa Raya, Raja Rozela Raja Toran memohon mahkamah mengambil tindakan terhadap Ahmad Zahid kerana tidak dapat memberikan bukti jemputan sepertimana yang dijanjikan sekali gus dianggap sebagai satu penghinaan terhadap mahkamah.

Bagaimanapun, setelah mendengar penjelasan daripada semua pihak, Hakim, Collin Lawrence Sequerah menerima alasan yang diberikan oleh Ahmad Zahid dan beliau dilepaskan daripada pertuduhan menghina mahkamah.

Terdahulu, mahkamah membenarkan permohonan peguam Ahmad Zahid untuk menangguhkan perbicaraan bagi memberi ruang kepadanya untuk menghadiri mesyuarat bersama Perdana Menteri berhubung pelantikan Kabinet.

Namun beberapa jam selepas itu, mahkamah mengarahkan kes itu disambung semula, ekoran kenyataan yang dikeluarkan Jabatan Perdana Menteri (JPM).

Dalam kenyataan tersebut, JPM menafikan Muhyiddin dijadualkan untuk mengadakan pertemuan dengan mana-mana pemimpin politik.

Pada 19 Oktober dan 14 Disember 2018 serta 20 Februari 2019, Ahmad Zahid mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini terhadap 47 pertuduhan di mana 12 daripadanya membabitkan pecah amanah, lapan tuduhan rasuah dan 27 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan puluhan juta ringgit milik Yayasan Akalbudi.

Bagi pertuduhan pecah amanah, Ahmad Zahid, 66, didakwa menggunakan dana berkenaan untuk membuat enam pembayaran kad kredit milik persendirian, polisi insurans kenderaan dan lesen motor persendirian, kiriman wang kepada sebuah firma guaman dan sumbangan kepada persatuan bola sepak Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Bagi lapan tuduhan rasuah, Ahmad Zahid didakwa menerima suapan daripada tiga syarikat, iaitu Mastoro Kenny IT Consultant & Services, Data Sonic Group Berhad dan Profound Radiance Sdn Bhd sebagai dorongan untuk dirinya seorang pegawai badan awam iaitu Menteri Dalam Negeri di Kementerian Dalam Negeri (KDN) bagi membantu syarikat berkenaan mendapatkan projek MyEG.

Presiden Umno itu juga berdepan 27 pertuduhan pengubahan wang haram dengan membabitkan diri dalam transaksi secara langsung membabitkan pendapatan daripada aktiviti haram antara 29 Mac 2016 dan 11 April 2018.

Ahmad Zahid juga berdepan 40 pertuduhan menerima rasuah daripada sebuah syarikat berhubung Sistem Visa Luar Negara (VLN) menjadikan tuduhan dihadapinya sebanyak 87 pertuduhan.

Beliau kemudian didakwa dengan 33 lagi pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM42.76 juta daripada sebuah syarikat berhubung sistem sama di Mahkamah Sesyen Shah Alam pada 27 Jun tahun lalu.

Zahid, mahkamah, maaf, Kabinet

Artikel Lain