suria

Covid-19: Tiada kes baharu, Malaysia kekal 29 kes setakat ini

Kebanyakan kes penyakit Covid-19 di Malaysia merupakan kes-kes import. fotoBERNAMA.

TIADA kes baharu jangkitan COVID-19 dilaporkan di Malaysia setakat Isnin ini dan jumlah kumulatif kes di Malaysia kekal 29 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata jumlah kes itu melibatkan 17 orang dalam kalangan kes Pesakit Dalam Siasatan (PUI), 10 dalam kalangan kontak rapat dan dua dalam kalangan rakyat tempatan yang dibawa pulang dengan Misi Bantuan Kemanusiaan.

ARTIKEL BERKAITAN:KKM: Bekas menteri, timbalan menteri disahkan negatif Covid-19

"Daripada jumlah tersebut, 15 orang adalah warganegara China, 11 warganegara Malaysia dan tiga orang adalah lain-lain warganegara (iaitu Amerika Syarikat, Jepun dan Itali).

"Daripada 29 kes positif ini, sebanyak 22 kes telah sembuh dan dibenarkan discaj manakala tujuh kes masih menerima rawatan di wad isolasi di beberapa hospital di Lembah Klang. Kesemua kes ini dalam keadaan stabil," katanya.

Dr Noor Hisham berkata sebanyak 221 orang dikenal pasti mempunyai kontak rapat dengan tujuh kes yang masih dirawat di hospital dan daripada jumlah kontak ini, dua telah disahkan positif (iaitu kes ke-27 dan kes ke-29) dan 74 negatif COVID-19.

Sejumlah 82 kes masih menunggu keputusan makmal dan 63 lagi masih dalam proses pengambilan sampel.

Merujuk kepada gelombang pertama, Dr Noor Hisham berkata kebanyakan kes penyakit COVID-19 di Malaysia merupakan kes-kes import atau berkait rapat dengan negara China dan hanya dua kes COVID-19 merupakan transmisi tempatan.

Katanya setelah 11 hari tiada kes COVID-19 yang dilaporkan kepada Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Krisis Kebangsaan (CPRC), wujud gelombang kedua COVID-19 dengan tujuh kes dikesan, bermula pada 27 Februari sehingga kini.

“Kebanyakan kes merupakan kes-kes import atau berkait rapat dengan negara-negara luar dari Republik Rakyat China iaitu Jepun dan Itali,” katanya.

Orang ramai yang ingin mendapatkan maklumat lanjut mengenai COVID-19 boleh menghubungi Infoline CPRC dengan menghubungi nombor 03-8881 0200 / 03-8881 0600 / 03-8881 0700 atau e-mel ke [email protected] BERNAMA

covid-19, Wuhan, pesakit

Artikel Lain