suria

Cuba larikan diri selepas rompak kedai emas, pengunjung pusat beli belah berjaya tangkap penjenayah

Pengunjung di sebuah pusat beli belah berjaya menangkap seorang daripada dua penjenayah yang merompak kedai emas. Foto: FB

ORANG ramai berjaya menangkap seorang daripada dua penjenayah yang melakukan rompakan nekad di sebuah kedai emas dalam sebuah pusat membeli belah di Bukit Tinggi, Klang, pada Sabtu.

Menurut Ketua Polis Daerah Klang Selatan, ACP Shamsul Amar Ramli, dalam kejadian yang berlaku pada kira-kira pukul 10 malam itu, dua penjenayah terbabit bertindak meluru masuk ke kedai berkenaan ketika pekerja di kedai itu sedang bersiap-siap untuk menamatkan perniagaan.

ARTIKEL BERKAITAN: Lihat perompak bersenjata santai terjah rumah, orang awam mula rasa tak selamat, “Masuk rumah macam ada birthday party”

ARTIKEL BERKAITAN: Dua lagi suspek cubaan rompak bersenjatakan parang ditahan

"Penjenayah ini yang bersenjatakan tukul kemudian bertindak memecahkan cermin kaca ruang pameran barang kemas sebelum cuba melarikan diri," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Tambah Shamsul Amar, orang ramai yang melihat kejadian berkenaan telah bertindak mengejar dan berjaya menahan seorang daripada suspek kira-kira 20 meter dari kedai itu.

"Suspek yang berjaya ditangkap adalah seorang lelaki berumur 19 tahun, bersamanya turut dirampas barang kemas yang dirompak dan tukul yang digunakan," katanya.

Kata Shamsul Amar lagi, polis sedang giat mengesan seorang lagi rakan suspek dan kes disiasat di bawah Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan kerana merompak.

Terdahulu, tular beberapa video di laman media sosial memaparkan seorang anggota keselamatan mengacukan pistol terhadap dua individu yang sedang melarikan diri selepas melakukan rompakan di sebuah kedai emas.

Video yang lain pula menunjukkan orang ramai termasuk pekerja pusat beli-belah berkenaan berjaya menangkap seorang daripada suspek dan menyerahkannya kepada pekerja kedai emas itu sementara menunggu kehadiran pihak polis. - BERNAMA

Artikel Lain