suria

Gara-gara cemburu, remaja perempuan mati dipukul abang angkat OKU

Seorang remaja perempuan mati dipukul oleh abang angkatnya dipercayai dengan sebatang penukul gara-gara cemburu.

HANYA disebabkan cemburu, seorang remaja perempuan berusia 18 tahun mati dipukul oleh abang angkatnya dipercayai dengan sebatang penukul di rumah mangsa di Persiaran Pengkalan Timur, Taman Desa Pakatan, Ipoh, pada Sabtu.

Ketua Polis Daerah Ipoh, ACP A. Asmadi Abd Aziz berkata, mangsa, Siti Sufiah Halim Ong ditemui meninggal dunia ketika ibunya mahu mengejutkan anaknya kira-kira jam 7.30 pagi.

Menurutnya, polis telah menahan suspek berusia 24 tahun dan merupakan pemegang kad Orang Kurang Upaya (OKU) iaitu ketidakupayaan dalam masalah pembelajaran.

ARTIKEL BERKAITAN: Kematian budak tahfiz: Cemburu punca pergaduhan, tiga ditahan

Semasa hasil soal siasat, katanya, suspek mengaku telah memukul mangsa dengan sebatang penukul akibat cemburu kerana mangsa didakwa mempunyai hubungan lain.

Beliau berkata polis merampas sebatang penukul, sebatang kayu dan pakaian suspek.

“Suspek tidak mempunyai rekod jenayah lampau dan kes diklasifikasikan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh,”  katanya dalam satu kenyataan.

A.Asmadi berkata hasil soal siasat mendapati mangsa yang mengenali suspek sejak empat tahun lalu tidak pernah bergaduh sebelum ini dan suspek sering datang ke rumah untuk membantu keluarga mangsa sejak kematian bapa mangsa pada 2012.

"Hasil bedah siasat mendapati mangsa mengalami hentakan keras di bahagian kepala dengan terdapat dua kesan luka dan lebam di kedua-dua belah kepala serta di sekeliling mata sebelah kiri, patah tulang tengorak di bahagian kiri dan kanan serta terdapat kesan pendarahan di bahagian otak,”  katanya.

Beliau berkata ibu mangsa menyatakan anaknya bersama suspek telah datang ke tempat kerjanya pada jam 4.30 petang semalam sebelum suspek menghantar anaknya ke rumah pada sebelah malam.

Sementara itu, ibu mangsa, Siti Sayati Kamil, 46, ketika ditemui di Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di sini, berkata anaknya tidak menunjukkan sebarang perubahan pelik.

"Dia cuma beritahu mahu menjaga saya sampai bila-bila dan mahu saya berhenti kerja sebagai pekerja di gerai buah-buahan," ujarnya.

Siti Sufiah, yang merupakan anak sulung daripada dua beradik, baru bekerja di sebuah gerai buah-buahan sejak dua bulan lalu dan bercita-cita mahu menjadi seorang anggota polis. - BERNAMA

cemburu, abang angkat, penukul, gadis

Artikel Lain