suria

Tebing batu ‘kepala kuda’ di Miri runtuh

Gambar sebelum runtuhan (kiri) dan gambar selepas struktur tebing batu 'kepala kuda' dekat Miri runtuh.

TEBING batu yang menyerupai kepala kuda runtuh di Miri, Sarawak pada Sabtu.

Dikenali sebagai Tusan Cliff, tebing bati setinggi 50 meter itu terletak kira-kira 60 kilometer dari Miri hancur berkecai apabila ia runtuh menghadap Laut China Selatan.

Kejadian itu menimbulkan tanda tanya dalam kalangan pencinta alam sama ia berpunca daripada kerja-kerja pembinaan gerai makanan dan laluan pejalan kaki konkrit berdekatan.

Pengerusi Persatuan Pencinta Alam Miri, Musa Musbah berkata, batu yang runtuh itu merupakan batu pasir.

"Pada kecerunan 45 darjah pada lereng bukit, struktur geologi batu pasir tidak kukuh. Jika mereka (pihak berkuasa pelancongan) terus membina bangunan di tebing, bangunan itu juga runtuh ke bawah tebing," katanya ketika dihubungi.

Projek bernilai RM3 juta itu meliputi gerai makanan dan laluan pejalan kaki yang dijalankan di kawasan itu oleh pihak berkuasa.

Para pelancong turut berkongsi keprihatinan mereka menerusi media sosial, dengan mengatakan kawasan geologi yang sensitif seperti itu seharusnya bebas daripada projek pembangunan.

Mereka menggesa pihak berkuasa negeri supaya menghentikan kerja-kerja pembinaan di pantai itu, sambil berkata kawasan tersebut perlu dilindungi daripada sebarang pembangunan komersial. - The Star


Artikel Lain