suria

Pengasas kicap Jalen, Ab Jalil Long meninggal dunia

Allayarham Datuk Ab Jalil Long meninggal dunia pada usia 82 tahun. Foto Facebook Kicap Jalen

USAHAWAN dan pengasas kicap terkenal jenama Jalen, Datuk Ab Jalil Long meninggal dunia pada usia 82 tahun di Hospital Pakar KPJ Puteri di Johor Bahru, petang Selasa.

Berita pemergiannya dikongsikan oleh pihak pengurusan Syarikat Jalen Sdn Bhd kepada umum menerusi satu hantaran dalam laman Facebook rasmi mereka, Kicap Jalen, malam Selasa.

Hantaran itu menyatakan Ab Jalil menghembuskan nafas terakhir pada pukul 3.55 petang, namun, tidak menyatakan sebab kematian Allahyarham.

Jenazah Allahyarham akan dikebumikan di Taman Perkuburan Taman Kebun Teh di sini selepas waktu solat isyak.

Menerusi maklumat dalam laman sesawang syarikat itu, Jalen Sdn Bhd memulakan operasi perniagaannya pada November 1981 sebagai Jalil Enterprise.

Aktiviti utama syarikat berkenaan ketika itu ialah untuk membekalkan secara kontrak kicap yang diberi jenama Habhal.

Bagaimanapun, perjanjian telah ditamatkan pada November 1986, mengakibatkan syarikat terpaksa bergerak sendiri sebelum akhirnya berjaya memulakan era baharu pada Ogos 1988 iaitu membekalkan kicap dengan nama baharu, Kicap Jalen di pasaran.

Ibu pejabat dan kilang Jalen beroperasi di Jalan Kempas Lama, Kampung Sinaran Baru, Skudai, di sini dan kini produk syarikat itu tidak hanya terikat kepada kicap semata-mata malah turut mencakupi sos tomato, sos cili, sos tiram, cuka, dan kordial berbagai perisa seperti oren, sirap ros, barli, laici dan lain-lain. - Bernama

Jalen, kicap, Ab Jalil Long

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain