Kantoi! Sewa kondo RM350 anjur ‘parti liar’ dadah, jemput peserta guna WhatsApp

Tujuh ditahan termasuk dua warga asing yang terlibat dalam parti liar dadah di Brickfields ini.

TUJUH Individu termasuk dua wanita warga asing ditahan sepasukan anggota penguat kuasa dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Brickfields di sebuah kondominium di Jalan Sungai Besi di ibu negara pada Sabtu.

Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Zairulnizam Mohd Zainuddin @ Hilmi berkata, tiga lelaki dan seorang wanita tempatan serta dua wanita warga asing yang berusia dalam lingkungan 20 hingga 45 tahun ditahan ketika serbuan operasi 'Wild Party’ pada pukul 1.52 petang.

“Turut ditahan seorang lelaki dipercayai penganjur private party ini, selain merampas beberapa jenis dadah jenis methylenedioxymethamphetamine (MDMA) yang dianggarkan seberat 10.3 gram, 4.1 gram ketamin dan 2.2 gram ganja.

"Siasatan awal mendapati tiga suspek itu berkongsi duit untuk membayar sewa unit kondominium itu sebanyak RM350,” katanya melalui kenyataan di sini.

Menurutnya, peserta  private party ini dijemput melalui aplikasi WhatsApp, manakala tempahan sewa rumah tersebut dibuat melalui panggilan telefon dan bayaran dilakukan secara dalam talian.

"Hasil ujian saringan awal air kencing mendapati kesemua suspek yang ditahan itu positif dadah dan kesemua suspek ditahan reman bagi membantu siasatan kes di bawah Seksyen 39A (1) Akta Dadah Berbahaya 1952.

"Serbuan dilakukan anggota Ibu Pejabat Polis Daerah Brickfields hasil risikan berdasarkan maklumat orang awam. Segala kerjasama yang diberikan kepada pihak polis Brickfields amat dihargai," katanya.


parti liar, dadah, Brickfields

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain