suria

Kecoh Jalur Gemilang bintang 5 bucu, Maba mohon maaf dan bertanggungjawab sepenuhnya

Imej Jalur Gemilang dengan paparan bintang lima bucu ditayangkan pada skrin gergasi semasa perasmian kejohanan bola keranjang, Piala Lum Mun Chak MABA/Milo kali ke-28 pada Isnin. Foto Twitter muhd_IMRAN23

KECOH apabila Jalur Gemilang dengan bintang lima bucu terpampang ketika majlis perasmian kejohanan bola keranjang, Piala Lum Mun Chak Maba/Milo kali ke-28 pada Isnin.

Imej bendera tersebut disiarkan menerusi tayangan klip video pada skrin gergasi ketika nyanyian lagu NegaraKu di Stadium Persatuan Bola Keranjang Malaysia (Maba).

Jalur Gemilang sepatutnya mempunyai bintang 14 bucu yang melambangkan perpaduan 13 negeri dan Wilayah Persekutuan.

ARTIKEL BERKAITAN: RTM Akui Kedudukan Bendera Berterabur, Akan Ambil Tindakan

ARTIKEL BERKAITAN: Netizen luah rasa berang, penganjur acara ratu cantik mohon maaf guna nama Republic of Malaysia

Susulan insiden itu, Maba tampil membuat permohonan maaf di atas kesilapan yang tidak disengajakan itu.

“Semasa majlis perasmian, pasukan penyiaran kami secara tidak sengaja mempamerkan bendera Malaysia yang salah di skrin TV stadium.

“Kami memohon maaf di atas kesilapan itu dan bertanggungjawab sepenuhnya untuk tindakan sedemikian. 

“Tolong maafkan kami kerana kami sentiasa berusaha untuk membangun dan mengembangkan sukan bola keranjang di Malaysia,” menurut kenyataan Maba di halaman Facebooknya, Selasa malam.

Permohonan maaf daripada Maba.

Video berdurasi 1 minit dan 42 saat itu tular di media sosial dan membangkitkan kemarahan pelbagai pihak khususnya rakyat Malaysia.

Sementara itu, Bernama melaporkan bahawa polis telah memanggil Presiden Maba, Datuk Lua Choon Hann ekoran pemaparan bendera kebangsaan Jalur Gemilang yang mempunyai bintang pecah lima pada majlis perasmian kejohanan bola keranjang di Stadium Maba.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim dipetik sebagai berkata, pihaknya telah memanggil Choon Hann ke Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur pada pukul 8 pagi Selasa untuk diambil keterangan.

Beliau berkata, Choon Hann menjelaskan bahawa kejadian sedemikian bukanlah berpunca daripada pihak Maba sebaliknya pihak konsultan teknologi maklumat.

“Presiden Maba ada berjumpa dengan saya pagi tadi untuk memperjelaskan kejadian sebenar dan saya meminta beliau untuk buat laporan polis di Balai Polis Tun H.S Lee.

“Pihak konsultan berkenaan juga dipanggil dan disiasat sekiranya kejadian ini mempunyai motif tertentu sama ada disengajakan atau sebaliknya,” katanya pada sidang media selepas istiadat penganugerahan Pingat Jasa Pahlawan Negara (PJPN) di Pusat Latihan Polis Kuala Lumpur (Pulapol), di Kuala Lumpur pada Selasa.

Artikel Lain