suria

Anwar gesa Azmin hadir mesyuarat, beri penjelasan

Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim. Foto: Bernama

TIMBALAN Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali perlu menghadirkan diri ke Mesyuarat Biro Politik PKR yang akan diadakan malam Rabu.

Gesaan itu disuarakan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menegaskan Azmin ‘wajib hadir’ bagi memberi penjelasan berhubung perjumpaannya bersama kira-kira 20 ahli Parlimen di kediaman rasminya pada malam Isnin.

ARTIKEL BERKAITAN: Ahli parlimen berkumpul di kediaman rasmi Azmin 

ARTIKEL BERKAITAN: Dr Mahathir ulangi penggantinya adalah Anwar, bukan Azmin 

“Tentu kita akan minta penjelasan dulu. Isu ini memang menimbulkan banyak persoalan oleh rakan-rakan. Jadi patut beliau beri penjelasan.

“(Beliau perlu hadir esok?) Ya, itu sepatutnya. Timbalan presiden wajib hadir,” katanya ketika ditemui di lobi Parlimen pada Selasa.

Ketika ditanya pertemuan itu dilakukan atas kapasiti kerajaan atau parti, Ahli Parlimen Port Dickson itu berkata;“Saya tidak tahu, sebab itu saya minta lebih baik beri penjelasan. Kalau atas kapasiti parti atau kerajaan, mengapa Ahli Parlimen lain tidak diundang?," soal beliau.

Sinar Harian melaporkan beberapa Ahli Parlimen dari Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) melakukan pertemuan dengan Mohamed Azmi di kediaman rasminya malam tadi.

Wakil rakyat berkenaan dipercayai berada di situ sejak 7 malam sebelum beransur-ansur meninggalkan kediaman Ahli Parlimen Gombak itu mulai 11 malam dengan yang terakhir dilihat keluar ialah Naib Presiden PKR, Zuraida Kamaruddin.

Antara yang dilihat keluar ialah Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Kamaruddin Jaffar, Mastura Mohd Yazid (BN-Kuala Kangsar), Datuk Abdul Rahman Mohamad (BN-Lipis) dan Datuk Seri Ismail Abd Muttalib (BN-Maran).

Ahli Parlimen Cameron Highlands, Ramli Mohd Nor yang turut hadir ketika diminta mengulas lanjut mendakwa tiada apa-apa yang dibincangkan dalam pertemuan berkenaan.

Pemimpin lain yang turut hadir ialah Datuk Seri Ahmad Hamzah (BN-Jasin), Datuk Seri Shahidan Kassim (BN-Arau); Datuk Seri Dr Ismail Mohamed Said (BN-Kuala Krau) dan Datuk Hasbullah Osman (BN-Gerik). - SINAR HARIAN

Anwar, Azmin, penjelasan, mesyuarat

Artikel Lain