suria

Dr Mahathir ulangi penggantinya adalah Anwar, bukan Azmin

Dr Mahathir mengulangi bahawa penggantinya adalah Anwar, namun beliau enggan mendedahkan tempoh masa tertentu untuk peralihan kuasa yang dipersetujui tersebut.

TUN Dr Mahathir Mohamad menegaskan bahawa pengganti yang akan mengambil alih jawatan Perdana Menteri kelak adalah Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dan bukannya Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Sungguhpun ada permintaan daripada pihak tertentu yang meminta beliau bertahan sehingga pilihan raya umum akan datang, Dr Mahathir berkata beliau komited untuk berundur sebelum tempoh tersebut.

ARTIKEL BERKAITAN: Beri ruang kepada Tun M pimpin kerajaan bagi tempoh dipersetujui - Anwar

Dalam temu bual bersama Sydney Morning Herald di Bangkok, Dr Mahathir yang ditanya sama ada beliau pasti akan melepaskan 'baton' kepada Anwar berbanding Azmin, beliau menjawab, “Ya, saya akan (serah kepada Anwar)”

“Walaupun terdapat banyak pihak yang telah meminta saya untuk meneruskan sehingga pilihan raya akan datang - tetapi itu pandangan mereka.

“Komitmen saya adalah untuk meletak jawatan sebelum pilihan raya akan datang, sudah tentu,” katanya.

Walau bagaimanapun, Dr Mahathir enggan mendedahkan tempoh masa tertentu untuk peralihan kuasa yang dipersetujui tersebut, yang mana ia menjadi perbalahan segelintir pihak.

“Saya tidak boleh mengatakan sama ada dua tahun atau tiga tahun, tetapi saya pasti akan berundur seperti yang dijanjikan,” kata Dr Mahathir, yang berada di Bangkok untuk Sidang Kemuncak Asean ke-35.

Terdapat permintaan dalam kalangan Pakatan Harapan dan juga pembangkang untuk Dr Mahathir kekal sebagai Perdana Menteri sehingga berakhirnya mandat kerajaan.

Walau bagaimanapun, ia adalah rancangan penggantian yang sudah dipersetujui di mana Dr Mahathir sepatutnya menyerahkan jawatan tersebut kepada Anwar, malah ada yang mengatakan bahawa terdapat perjanjian bertulis mengenai peralihan kuasa tersebut. - The Star Online

Tun Mahathir, Anwar, Azmin

Artikel Lain