suria

Punca pencemaran bau dikenal pasti, Syabas tidak pasti tempoh bekalan air akan pulih

Pengguna terjejas boleh mendapatkan bekalan air di Pusat Khidmat Setempat dan pili awam yang disediakan.

PENCEMARAN bau memaksa empat Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Selangor dihenti tugas pada Jumaat malam dan ia dikesan berpunca dari Sungai Liam, Batang Kali, Hulu Selangor.

Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas) dalam kenyataan media berkata, punca pencemaran itu dikenal pasti selepas siasatan dijalankan Unit Kualiti Air Selangor dengan kerjasama Lembaga Urus Air Selangor (Luas) dan Majlis Daerah Hulu Selangor.

"Agensi penguatkuasa yang berkenaan akan membuat pengumuman kepada pihak awam berhubung pencemaran dari kawasan tersebut," demikian menurut kenyataan itu.

Bagaimanapun, Syabas berkata LRA Sungai Selangor Fasa 1, Fasa 2 dan Fasa 3 serta Loji Rawatan Air Rantau Panjang telah kembali beroperasi sepenuhnya pagi Sabtu.

Namun mereka masih lagi dalam proses meningkatkan serta menstabilkan paras kolam dan tekanan di sistem agihan bagi proses pemulihan air secara berperingkat.

"Berdasarkan pemantauan sehingga pukul 6 pagi ini, peratusan pemulihan keseluruhan kawasan masih lagi rendah di tahap 19 peratus.

"Justeru pihak kami tidak dapat memberikan jangka masa pemulihan mengikut kawasan buat masa ini," katanya.

Dalam pada itu, Syabas berkata sebanyak 16 Pusat Khidmat Setempat (PKS) dan 17 lokasi Pili Awam diaktifkan bermula pukul 9 pagi Sabtu bagi mengagihkan bantuan air kecemasan mereka yang terjejas.

"Memandangkan insiden ini melibatkan kawasan berskala besar, pihak kami tidak dapat memenuhi permintaan bantuan bekalan air melalui lori tangki air kepada semua pelanggan yang terjejas.

"Bantuan lori tangki air digerakkan dengan keutamaan kepada pelanggan dan premis kritikal serta kecemasan," katanya.

Bagi mengelakkan kelewatan penerimaan bekalan air melalui lori tangki air, Syabas menasihatkan orang ramai agar mendapatkan bantuan air kecemasan di PKS dan pili-pili awam yang telah disediakan.

"Pihak kami dengan bantuan agensi-agensi yang berkaitan sedang berusaha sedaya upaya untuk memberi bantuan dan mempercepatkan pemulihan ke semua kawasan yang terlibat," katanya.

Pengguna di empat wilayah yang terjejas diminta merujuk laman sesawang www.syabas.com.my bagi mendapatkan maklumat dan status terkini.

Artikel Lain