suria

Pemandu van tuisyen ditahan didakwa cabul budak 8 tahun

Seorang pemandu van tuisyen didakwa mencabul seorang budak berusia lapan tahun. Gambar sekadar hiasan

POLIS menahan seorang pemandu van tuisyen berusia 64 tahun kerana didakwa mencabul seorang budak perempuan berusia lapan tahun, sejak dua bulan lalu.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan Asisten Komisioner Shahurinain Jais berkata, kejadian itu terbongkar selepas adik mangsa memberitahu perkara tersebut kepada ibu mereka.

"Adik mangsa beritahu ibunya mengenai suspek menyentuh dada dan paha kakaknya ketika menghantar mereka ke pusat tuisyen.

"Menurut laporan polis, insiden berlaku pada Mei lalu, tetapi mangsa tidak memberitahu ibunya kerana takut," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

"Adik mangsa turut memberitahu bahawa suspek menangkap gambar seluar dalam dengan menyuruhnya membuka kedua-dua kaki ketika dia hanya memakai skirt," tambahnya.

"Kejadian tersebut telah disaksikan oleh adik mangsa," kata Shahurinain sambil menambah bahawa mangsa dan adiknya menaiki van sekolah yang dipandu suspek untuk pergi ke pusat tuisyen pada setiap hari kecuali Sabtu dari rumah mereka.

Beliau berkata, suspek mengambil kesempatan ketika hanya ada kedua-dua beradik itu di dalam van berkenaan.

Berdasarkan semakan, suspek tidak mempunyai rekod jenayah lampau dan polis merampas sebuah telefon bimbit milik suspek bagi membantu siasatan.

Tambahnya, siasatan lanjut masih diteruskan mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017. - The Star

cabul

Artikel Lain