suria

Pejabat Facebook Malaysia dilancar, Tun M pesan "Apa yang haram di luar talian, haram juga dalam talian"

Dr Mahathir ketika merasmikan pejabat Facebook di Q Sentral 2 di Kuala Lumpur, Selasa. Turut hadir Gobind Singh (dua, kanan), Pengerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM), Al- Ishsal Ishak (kiri), Naib Presiden Asia Pasifik Facebook Dan Neary (kanan) dan Nicole Tan (dua, kiri). Foto Bernama

PERDANA Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mengakui bahawa Internet dan platform media sosial memainkan peranan penting dalam mempromosikan keterbukaan dan keterangkuman tetapi juga memberi amaran bahawa ia semakin disalahgunakan.

"Internet semakin disalahgunakan dengan semakin banyak kesalahan dan kesilapan yang dilakukan hari ini, terutama melalui penggunaan platform media sosial," katanya pada pembukaan pejabat Facebook Malaysia yang diperluaskan di Kuala Lumpur.

Berbeza dengan dunia nyata, di mana etika dan adab-adab sosial kadang-kadang kelihatan terhad dan terbatas, masyarakay merasakan mereka mempunyai rasa kebebasan bersuara dan sikap yang lebih besar apabila menggunakan rangkaian dalam talian.

Beliau berkata, walaupun Malaysia berpegang teguh kepada prinsip supaya internet diberi secara percuma dan terbuka, ia harus berada dalam sempadan perundangan negara.

"Apa yang haram di luar talian, lazimnya haram juga dalam talian.

"Kebebasan bersuara bukan ‘lesen’ untuk menyalahgunakan sesuatu, tetapi ia adalah tanggungjawab. Kebebasan bersuara yang tidak dibendung oleh pekerti mulia manusia akhirnya sekadar mengundang malapetaka kepada masyarakat," katanya.

Beliau menggesa Facebook dan penyedia platform lain untuk terus bekerjasama dengan kerajaan Malaysia dan agensi penguatkuasaan undang-undang di negara ini untuk memastikan bahawa dunia media sosial kekal sebagai platform untuk perubahan positif.

Dr Mahathir berkata, beliau berharap Facebook akan meningkatkan ciri Laporan Penguatkuasaan Piawaian Komuniti untuk menangani lebih banyak bentuk suara kebencian, terutama yang boleh menyebabkan ketegangan kaum dalam kalangan rakyat Malaysia.

Pengurus Negara Facebook Malaysia, Nicole Tan berkata, syarikat itu akan memperkenalkan We Think Digital kepada rakyat Malaysia tahun ini, program literasi digital yang direka untuk membantu pengguna berfikir secara kritikal dan berkongsi secara konsisten dalam talian.

"Malaysia adalah negara yang penting kepada Facebook, menyumbang kepada pertumbuhan berterusan kami di Asia Pasifik di mana lebih 23 juta pengguna di platform kami setiap bulan yang menghubungkan keluarga, rakan, perniagaan dan komuniti," katanya.

Ruang pejabat Facebook Malaysia yang baharu diperluaskan terletak di Q Sentral, Kuala Lumpur.

Berkeluasan 15,000 kaki persegi, ia dihiasi dengan unsur-unsur tempatan termasuk karya seni Datuk Mohammad Nor Khalid atau lebih dikenali sebagai Lat, Nee Wong, Fritilldea dan Eddie Putera.

Pejabat itu turut termasuk Wall Facebook secara fizikal dengan Dr Mahathir dan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo diberi penghormatan untuk menjadi tetamu pertama menandatangan pada wall tersebut.

Facebook Malaysia mula beroperasi pada Mei 2016. - The Star

Facebook, media sosial

Artikel Lain