suria

Dua suspek ditahan kes bunuh pemandu Grab

Gambar sekadar hiasan.

DUA suspek ditahan berhubung kes pemandu Grab, Mohd Hanafiee Jaffar, 27, yang dibunuh dalam satu kejadian rompakan.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Omar Mammah berkata, dua suspek yang merupakan penganggur itu terdiri daripada seorang rakyat tempatan dan seorang warga asing.

Jelasnya, kedua-dua mereka ditahan pada kira-kira pukul 9.50 malam Isnin selepas mengaku melakukan jenayah itu.

"Kita menahan dua suspek lelaki dalam lingkungan 20an selepas mendapat maklumat daripada syarikat e-hailing mengenai penumpang terakhir mangsa," katanya pada sidang media di Kota Kinabalu pada Selasa.

ARTIKEL BERKAITAN: Pemandu Grab hilang disahkan meninggal dunia

ARTIKEL BERKAITAN: Pemandu Grab hilang: Aunty buat pengecaman, mayat dah kembung, “Naluri saya kata memang dialah...”

Beliau berkata, kedua-duanya mengaku membunuh Hanafiee semasa rompakan pada 24 Mei lalu, dan membuang mayat di satu kawasan di Tuaran dekat Kota Kinabalu.

Terdahulu, polis di Tuaran menemui satu mayat, tetapi tidak dapat mengesahkan sama ada ia adalah Hanafiee.

Omar berkata, keluarga mangsa kemudian diminta untuk membuat pengecaman ke atas mayat, tetapi mereka sukar untuk mengecam kerana keadaan mayat telah mereput.

"Kita kini sedang memadankan DNA dan cap jari untuk menentukan identiti mayat," katanya.

Mohd Hanafiee, yang merupakan pemandu Grab sepenuh masa, dilaporkan hilang awal pagi Sabtu, dekat Kota Kinabalu.

Menurut laporan polis yang dibuat oleh teman wanita Mohd Hanafiee, kereta itu ditemui di kawasan berhampiran Bazar Ramadan di Indah Permai kira-kira pukul 12.30 pagi Ahad.

Katanya, kenderaan tersebut dikunci dan kosong, dengan kesan darah pada stereng, brek tangan, pintu depan dan cermin. - The Star

Mohd Hanafiee Jaffar, Grab

Artikel Berikut

Artikel Lain