suria

Sah! Mayat ditemui pemandu Grab yang hilang

Mohd Hanafiee hilang pada awal pagi Sabtu di Kota Kinabalu.

MAYAT yang ditemui di Kampung Shahbandar di Tuaran, Sabah pada Isnin disahkan sebagai pemandu Grab, Mohd Hanafiee Jaafar.

Pengesahan itu dibuat oleh ibu saudara kepada Mohd Hanafiee, Rafidah Linggam kepada mStar sebentar tadi.

ARTIKEL BERKAITAN: Pemandu Grab hilang: Aunty buat pengecaman, mayat dah kembung, "Naluri saya kata memang dialah..."

ARTIKEL BERKAITAN: Pemandu Grab hilang sejak Sabtu lalu, darah ditemui dalam kereta

ARTIKEL BERKAITAN: Polis siasat kaitan pemandu grab hilang dengan penemuan mayat

"Ya memang sah dia. Saya baru sahaja dimaklumkan oleh kakak ipar saya mengenai perkara ini," katanya mengenai mangsa yang berusia 27 tahun itu.

Menurut Rafidah, pihak keluarga sedang membuat persiapan untuk upacara pengebumian jenazah di kampung halaman mereka.

"Separuh keluarga masih di hospital manakala separuh lagi di kampung untuk urusan pengebumian. Jenazah akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Taun Gusi, Kota Belud," katanya.

Pada masa sama, Rafidah meminta saksi kejadian supaya tampil untuk membantu siasatan.

"Buat masa sekarang pelaku dan saksi belum ada. Jadi minta saksi tampil untuk bantu siasatan, itu sahaja. Sekarang ni susah kerana belum ada apa-apa petunjuk. Tapi saya harap pelaku dikenakan hukuman setimpal," katanya.

Mohd Hanafiee, yang merupakan pemandu Grab sepenuh masa, dilaporkan hilang awal pagi Sabtu, dekat Kota Kinabalu.

Menurut laporan polis yang dibuat oleh teman wanita Mohd Hanafiee, kereta itu ditemui di kawasan berhampiran Bazar Ramadan di Indah Permai kira-kira pukul 12.30 pagi Ahad.

Katanya, kenderaan tersebut dikunci dan kosong, dengan kesan darah pada stereng, brek tangan, pintu depan dan cermin.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain