Tempat duduk pemandu kereta MAHB dirempuh pesawat dalam kedudukan ‘dibaringkan’ - Semasa | mStar

Tempat duduk pemandu kereta MAHB dirempuh pesawat dalam kedudukan ‘dibaringkan’

Kereta MAHB yang mengalami kerosakan selepas terbabit dalam kemalangan dengan jet peribadi milik Berjaya Air di lapangan terbang Subang pada bulan lalu.

TEMPAT duduk pemandu kereta Malaysia Airport Holdings Bhd (MAHB) yang terlibat dalam kemalangan dengan sebuah pesawat di lapangan terbang Subang di Subang, Selangor, pada bulan lalu didapati dalam kedudukan dibaringkan.

Bagaimanapun, ia masih terlalu awal untuk menentukan sama ada pekerja, Mohd Ruzaimi Iskandar Ahmad Razali yang maut dalam kejadian itu, sedang tidur ketika kemalangan di landasan yang berlaku pada 18 Mac lalu.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke yang berkongsi laporan awal mengenai kejadian tersebut berkata, penyiasat belum membuat kesimpulan mengenainya.

ARTIKEL BERKAITAN: Mangsa kemalangan di landasan LTSAAS meninggal dunia, MAHB akui kehilangan staf berdedikasi, komited

ARTIKEL BERKAITAN: “Saya tidak diberitahu ada kenderaan di landasan” - Juruterbang

"Kita dapat menegaskan bahawa tempat duduk itu telah dibaringkan. Kita bagaimanapun tidak dapat memastikan sekiranya pemandu sedang tidur.

"Terlalu awal untuk membuat kesimpulan sekarang, dan ia tidak adil kepada pemandu," katanya pada sidang media pada Jumaat.

Mohd Ruzaimi yang berada di dalam kenderaan yang digunakan untuk mengawasi kerja-kerja penyelenggaraan di landasan di Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, meninggal dunia sehari selepas kemalangan.

Ketika nahas berlaku, jet peribadi milik Berjaya Air itu dalam penerbangan dari Jaipur, India membawa lapan penumpang.

Loke berkata, antara penemuan awal daripada pasukan penyiasat adalah kru penerbangan telah dilesenkan dengan betul dan pendaratan dilakukan secara sah selepas mendapat kebenaran daripada menara kawalan trafik udara Subang.

Beliau berkata, biro penyiasatan kemalangan udara akan menyiasat penggunaan pegawai trafik seorang bertugas setiap sesi di lapangan terbang Subang, di mana ketika itu hanya melihat seorang pengawal trafik udara bertugas selepas tengah malam hingga 6.30 pagi.

"Siasatan menyeluruh akan dilakukan pada prosedur operasi standard untuk komunikasi antara menara kawalan dan kenderaan penyelenggaraan menggunakan walkie-talkie berbanding komunikasi radio frekuensi yang sangat tinggi," katanya. - The Star

Artikel Lain