Rajin, amanah, berdisiplin dan bertanggungjawab nilai hidup untuk bentuk negara berjaya - Tun M - Semasa | mStar

Rajin, amanah, berdisiplin dan bertanggungjawab nilai hidup untuk bentuk negara berjaya - Tun M

PERDANA Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menggariskan nilai-nilai hidup - rajin, amanah, berdisiplin dan bertanggungjawab - yang perlu diterapkan penjawat awam untuk membentuk negara yang berjaya dan dihormati dunia.

Dalam perjumpaan bulanannya bersama warga Jabatan Perdana Menteri di Putrajaya, Selasa, Dr Mahathir berkata nilai-nilai itu penting bagi penjawat awam yang berada dalam kerajaan sebagai satu jentera yang dipertanggungjawabkan mentadbir negara dengan baik dan telus.

"Apabila kita bekerja cukup rajin, ikhlas dan amanah, kalau itu adalah pegangan kita, kita akan berjaya. Sebaliknya, apabila diberi tanggungjawab, kita abaikan tanggungjawab, tidak bekerja kuat , terlibat dalam rasuah, maka negara tidak mungkin berjaya," katanya.

Dr Mahathir yang turut menyentuh mengenai lagu “Malaysia Bersih” yang kali pertama dinyanyikan pada perjumpaan itu, berkata lagu itu penuh bermakna dan kandungannya wajar diberi perhatian penjawat awam dalam menumpukan usaha kepada pembangunan negara.

Beliau berkata bacaan doa pada perjumpaan itu yang meminta Allah SWT mengurniakan segala nikmat yang berpanjangan kepada bangsa dan negara tidak akan ditunaikan jika tidak disusuli dengan usaha seperti yang disebut di dalam al-Quran.

"Doa itu baik kepada kita, dan isi kandungan doa itu tidak semata-mata meminta daripada Allah tetapi Allah menyeru kita berusaha ke arah membangunkan sebuah negara yang dihormati dunia.

"Kita akan rasa malu kalau negara ini dihina oleh dunia, dan diberi nama-nama tidak baik. Kita tentu rasa bangga apabila negara kita disebut orang asing sebagai sebuah negara contoh dan model yang baharu sahaja bebas daripada cengkaman penjajah," katanya.

Menurut Dr Mahathir, kejayaan hanya dapat dicapai kalau kita isi kandungan lagu Malaysia Bersih dihayati dan doa disertakan dengan berusaha selain daripada sikap amanah dan bertanggungjawab.

"Ini harus kita ingat, kalau lepas doa, sembahyang hajat dan nyanyi lagu dan balik tidur selepas itu, takkan berlaku apa yang dihajati. Untuk menjayakan permintaan kita, kita harus berusaha dengan baik kerana ingin mencapai kepuasan diri, keluarga, bangsa dan negara," katanya.

Dr Mahathir berkata beliau yakin negara akan terus maju dan berjaya kerana ia ditadbir dengan baik.  Dalam pada itu, Dr Mahathir turut mengingatkan penjawat awam agar tidak menyalah gunakan kuasa kerana setiap daripada mereka mempunyai kuasa walaupun hanya bertugas sebagai budak pejabat.

Beliau mengimbas kisah pada zaman penjajahan British mengenai seorang budak pejabat yang bertugas dengan seorang majistret yang terlibat dengan rasuah.

"Dia boleh tentukan sama ada majistret lapang atau tidak untuk berjumpa dengan orang. Itu kuasa yang kecil tetapi dengan kuasa itu sahaja dia boleh dapat duit, dia ada kongsi sedikit dengan majistret. Ini tidak harus dilakukan oleh kita. Walaupun kuasa itu kecil, kita sudah mula salah gunakan kuasa dan itu bukanlah sesuatu yang dialu-alukan oleh kita," katanya.

Dr Mahathir dalam pada itu mengulangi rasa kagumnya terhadap kebolehan dan kejayaan rakyat Jepun yang pada beliau harus dijadikan contoh oleh rakyat negara ini.

Beliau berkata rakyat Jepun mempunyai sifat malu yang tinggi sekiranya gagal dalam melakukan sesuatu tugas.

“Perasaan malu mereka amat sangat, apa kesannya dalam kehidupan mereka ialah mereka akan elak berasa malu kerana gagal. Sebab itulah bila orang Barat berjaya dalam satu bidang, mereka (rakyat Jepun) akan masuk dalam bidang sama dan usaha sendiri kuasai ilmu, kebolehan dan kecekapan mereka sehingga mereka berjaya melebihi pencapaian orang Barat,” katanya.

Beliau berkata orang Melayu boleh berjaya seperti orang Barat atau Jepun jika mereka berpegang kepada nilai-nilai hidup itu dengan memperbaiki kesalahan dan kelemahan yang ada.-- Bernama

Mahathir , penjawat awam

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Paddy Abd Halim dilantik KP Kastam baharu

Klik

default image

Pelan Pembangunan KL... inilah harapan warga kota

INFRASTRUKTUR dan pengurusan bandar yang lebih baik merupakan perkara teratas dalam senarai Pelan Struktur Kuala Lumpur 2040 (PSKL) yang ingini penduduk Kuala Lumpur.

default image

UMP terajui usaha perkasa TVET di negara ini

SELEPAS 17 tahun ditubuhkan, Universiti Malaysia Pahang (UMP) kini merupakan salah satu universiti utama di negara ini yang menawarkan Program Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) di peringkat tinggi.

default image

Pakar ekonomi saran Malaysia laksana pembaharuan struktur

HALA tuju perdagangan dan pelaburan global memainkan peranan penting dalam ekonomi terbuka seperti Malaysia.

default image

Culas bayar cukai kena penalti 300 peratus, ketahui 10 fakta penting Program Khas Pengakuan Cukai Secara Sukarela

HANGAT diperkatakan mengenai isu melunaskan cukai dan masih ada yang culas untuk melaksanakan tanggungjawab sebagai pembayar cukai. 

default image

WKB 2030 fokus 9 kumpulan terpinggir, ketahui siapa mereka

PENGURUSAN polariti dalam WKB 2030 mengenal pasti sembilan kumpulan sasaran sebagai golongan terpinggir.

Artikel Lain