Saman tertunggak: Larangan kemasukan akibatkan laluan Malaysia-Singapura sesak teruk - Semasa | mStar

Saman tertunggak: Larangan kemasukan akibatkan laluan Malaysia-Singapura sesak teruk

Kesesakan di Tambak Johor pada Isnin. Foto Remar Nordin

RAKYAT Malaysia kecewa dengan keputusan Singapura melarang kemasukan semua kenderaan asing yang mempunyai saman tertunggak kerana kesalahan trafik, parkir atau pelepasan asap kenderaan, yang telah dimulakan di kedua-dua pintu masuk.

Ramai rakyat Malaysia yang membuat perjalanan ke Singapura untuk bekerja bermula Isnin, terperangkap dalam kesesakan di Tambak Johor dan Laluan Kedua Malaysia-Singapura dekat Gelang Patah.

Antaranya ialah Kathleen Ann Kili, 28, yang memberitahu bahawa kesesakan di Pusat Pemeriksaan Tuas lebih teruk kerana pemandu berhenti untuk membayar denda, manakala sesetengahnya terpaksa berpatah balik.

"Pusat pemeriksaan di bahagian Malaysia tidak mencukupi, menjadi penyebab utama kesesakan. Dengan larangan baharu ini, keadaan bertambah buruk," ujarnya.

Pekerja kilang, Nurhanad Jasni Hashim, 30, berkata, kesesakan yang disebabkan larangan itu turut menjejaskan barisan menunggu bagi pengangkutan awam, dengan giliran menunggu yang lama untuk menaiki bas di JB Sentral di Johor Bahru, Johor.

"Orang ramai biasanya pergi menaiki bas pertama sekitar 5 pagi bagi mengelakkan daripada tergesa-gesa, tetapi berdasarkan apa yang saya alami, tidak berlaku kerana lebih ramai memilih menggunakan bas susulan keputusan Singapura. 

"Ia akan mengambil masa untuk orang ramai membiasakan dengan perubahan ini kerana kita tidak boleh mengharapkan orang segera membayar denda. Oleh itu, suka atau tidak, kita perlu menghadapnya," katanya.

Seorang lagi pekerja kilang, Mohd Faiz Mustaffa, 31, berkata, tidak ada yang baharu dengan larangan Singapura kerana peraturan itu telah lama diamalkan.

"Itu negara mereka. Suka atau tidak, kita hanya perlu mengikut undang-undang mereka," katanya.

Terdahulu, dilaporkan bahawa pemandu asing diingatkan untuk memeriksa sebarang denda yang belum dijelaskan untuk kesalahan berkaitan kenderaan dan melunaskannya, atau mereka dilarang masuk ke Singapura.

Pemandu juga harus menyimpan resit untuk tujuan pengesahan semasa kemasukan mereka seterusnya ke Singapura.

Langkah untuk melarang kemasukan kenderaan asing dengan denda yang tertunggak untuk kesalahan lalu lintas, parkir atau pelepasan asap kenderaan ke Singapura sebelum ini diumumkan pada Februari lalu.

Singapura menegaskan sehingga Februari, kira-kira 400,000 denda yang terkumpul oleh pemandu asing membabitkan jumlah S$32 juta (RM96.35 juta).

Pengguna kenderaan boleh menyemak tunggakan denda mereka di www.axs.com.sg. - The Star

Tambak Johor , Linkedua , sesak , Singapura

Artikel Sebelum

Paddy Abd Halim dilantik KP Kastam baharu

Artikel Berikut

Artikel Lain