suria

RoL, bazar Ramadan Jalan Masjid India kekal

Bazar ramadan di Jalan Masjid India tidak akan di tutup.

MENTERI Wilayah Persekutuan Khalid Abdul Samad menegaskan kementeriannya akan mengekalkan program Sungai Nadi Kehidupan (RoL) sebagai sebahagian pelan menjadikan Jalan Tuanku Abdul Rahman (TAR) kawasan laluan pejalan kaki.

Beliau yang percaya RoL akan menerima impak positif daripada penutupan Jalan TAR kepada kenderaan awam itu juga memberi jaminan bazar Ramadan di Jalan Masjid India tidak akan ditutup.

Isu bazar Ramadan ini masih dalam peringkat perbincangan dengan semua pemegang taruh, katanya kepada Bernama selepas pelancaran Yayasan Amal Mabrur Malaysia, Ahad.

Beliau ditanya mengenai kedudukan bazar tersebut yang dikatakan akan ditutup atau dipindahkan ke kawasan lain susulan rancangan kementerian untuk menjadikan Jalan TAR sebagai laluan pejalan kaki dan zon bebas kenderaan yang turut melibatkan RoL di kawasan sama.

Terdahulu beliau dilaporkan berkata sebarang keputusan mengenai penutupan sebahagian Jalan TAR kepada kenderaan awam akan dimuktamadkan sebelum 15 Mac selepas mendengar maklum balas pemegang taruh khususnya penjaja dan peniaga di sekitar Jalan Esfahan hingga Jalan Melayu.

Mengenai Yayasan Amal Mabrur Malaysia, beliau berkata penubuhan yayasan itu dilihat mampu menjadi wadah terbaik membantu alumni haji dan umrah untuk terus komited meneruskan kemabruran (konsistensi beribadah) sebaik selesai menunaikan rukun Islam kelima itu.

Beliau berkata yayasan yang sebelumnya dikenali sebagai Pertubuhan Amal Mabrur itu juga diyakini akan menjadi platform terbaik untuk alumni berkumpul dan melakukan aktiviti-aktiviti yang bakal memanfaatkan umat Islam di negara ini.

"Amal mabrur bererti kerja yang dilakukan secara bersungguh-sungguh dan konsisten untuk mendapat reda Allah, dan persoalannya bagaimana untuk kita mengekalkan kemabruran ini?.

"Di sini pentingnya yayasan dalam memainkan peranannya membimbing alumni untuk terus konsisten dengan pelbagai program yang akan direncana untuk kebaikan alumni dan umat Islam di Malaysia," katanya ketika merasmikan yayasan tersebut.

Sementara itu, Pengasas dan Pengerusi yayasan Mohd Hasnil Abu Bakar berkata antara program yang bakal direncana ialah pertemuan berkala alumni haji dan umrah di setiap negeri, kursus haji dan umrah bermodul kepada bakal jemaah haji dan umrah, serta simulasi haji cilik.

Majlis itu dihadiri kira-kira 200 alumni haji dan umrah selain pelancaran buku 'Tadabbur dan Mabrur: Jalan Menuju Syurga' tulisan Mohd Hasnil.- Bernama

Artikel Lain