suria

Kakak mangsa difteria antara lima kanak-kanak dimasuk ke wad pengasingan

Dr Selahuddeen(dua, kanan) memakai penutup mulut ketika melawat pesakit kanak-kanak yang dijangkiti difteria di bilik kuarantin Hospital Sultanah Aminah (HSA) pada Ahad. fotoBERNAMA

LIMA kanak-kanak yang mempunyai kontak dengan kanak-kanak lelaki yang maut disyaki akibat difteria tiga hari lepas, dimasukkan ke wad pengasingan di Hospital Sultanah Aminah (HSA), Johor Bahru selepas didapati positif penyakit itu.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Alam Sekitar dan Pertanian Johor, Dr Sahruddin Jamal berkata kelima-lima mereka melibatkan tiga perempuan dan dua lelaki berumur empat tahun ke bawah, termasuk seorang kakak kepada kanak-kanak lelaki berumur dua tahun sebulan yang maut itu.

"Kelima-lima mereka antara 52 individu menjalani ujian saringan difteria kerana mempunyai kontak dengan mangsa (kanak-kanak lelaki) dan kehadiran Corynebacterium Diphteria dikesan pada sampel calitan tekak mereka," katanya kepada pemberita selepas melawat lima kanak-kanak berkenaan di HSA pada Ahad.

Dr Sahruddin berkata kelima kanak-kanak itu yang dimasukkan ke HSA sejak Sabtu, kini berada dalam keadaan stabil.

Beliau berkata tiga daripadanya melibatkan dua perempuan dan seorang lelaki dibenarkan pulang ke rumah, Isnin, selepas 48 jam diberikan rawatan manakala kakak mangsa yang tidak pernah mendapatkan sebarang suntikan imunisasi dan seorang lagi kanak-kanak lelaki masih memerlukan rawatan.

Beliau berkata selain kakak mangsa, empat kanak-kanak terbabit disaring di kawasan perumahan sama dengan mangsa dan di sebuah taska berdekatan.

Katanya, ibu kanak-kanak lelaki yang maut itu turut dirujuk kepada pakar Obstetrik dan Ginekologi kerana sedang mengandung, namun, dia didapati negatif difteria.

Dr Sahruddin berkata terdapat dua kes difteria termasuk satu kematian kanak-kanak berumur 14 bulan direkodkan tahun lepas di negeri ini, manakala enam kes dengan satu kematian direkodkan tahun ini, melibatkan kanak-kanak lelaki berumur dua tahun sebulan berkenaan.

Sehubungan itu, beliau berkata Jabatan Kesihatan Johor ingin menasihati orang awam agar mendapatkan perkhidmatan imunisasi daripada klinik kesihatan kerajaan ataupun swasta.

"Penyakit difteria, demam campak, beguk, ‘pertussis' dan rubella boleh dicegah melalui imunisasi. Kegagalan memberikan imunisasi kepada kanak-kanak bukan sahaja mendedahkan kanak-kanak tersebut kepada jangkitan kuman malah mendedahkan komuniti kepada jangkitan yang sama," katanya.

Pada Sabtu, Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah memaklumkan seorang kanak-kanak lelaki berumur dua tahun sebulan meninggal dunia di sini, Khamis lepas, (21 Feb) disyaki akibat jangkitan difteria.

Kanak-kanak terbabit tidak pernah menerima sebarang imunisasi sejak lahir dan mula mengalami demam, batuk dan bengkak tonsil pada 16 Februari lepas sebelum dibawa ke unit kecemasan hospital pada 18 Februari lepas, dalam keadaan lemah.

Kanak-kanak tersebut tidak dapat diselamatkan dan meninggal dunia pada 21 Februari dengan sebab kematian ‘severe diphtheria with multiorgan failure'. - BERNAMA

difteria

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain