suria

Mesin ATM beras percuma untuk asnaf wajar jadi ikutan pihak berkuasa agama negeri lain

Penerima bantuan Rahimah Alang (duduk), 72, menunjukkan dua kilogram yang diterima. - Bernama

PELANCARAN mesin ATM beras untuk golongan asnaf yang dilancar oleh Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) di Masjid Al-Akram Datuk Keramat di Kuala Lumpur wajar dicontohi oleh pihak berkuasa agama negeri-negeri lain ke arah memperbaiki sistem bantuan kepada golongan asnaf di negeri masing-masing.

Pengarah Urusan Megasoft Network Datuk Megat Sallehuddin  Megat Ibrahim berkata  sebagai pengedar tunggal mesin itu, beliau menjangka mesin berkenaan berpotensi memberi galakan kepada orang ramai melakukan kebajikan kepada golongan asnaf.

Megat Sallehuddin berharap mesin ini akan menjadi penanda aras bagi Jabatan Agama Islam Negeri-Negeri dan Baitulmal dalam memperbaiki sistem bantuan kepada golongan asnaf.

"Mungkin kita boleh mencipta mesin seumpamanya pada masa depan dengan ciri dan teknologi yang  yang lebih menarik,” katanya.

Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan Mohd Ajib Ismail (tiga, kanan) beramah mesra bersama penerima bantuan selepas merasmikan Mesin ATM-Beras di Masjid Al-Akram Kampung Dato' Keramat. - Bernama

Megat Sallehuddin mengulas cadangan JAWI untuk menempatkan 85 mesin ATM beras  di 85 masjid di Wilayah Persekutuan khusus bagi membantu 23,000 asnaf yang berdaftar dengan pihaknya menerima beras secara percuma.

Pengarah JAWI, Mohd Ajib Ismail, ketika melancarkan mesin ATM beras itu semalam berkata rancangan penempatan mesin itu di masjid  akan dibincangkan lebih lanjut pada persidangan antara Jawatankuasa Masjid-masjid Wilayah Persekutuan bulan depan.

Menerusi mesin itu yang pertama di Malaysia, golongan asnaf hanya perlu menyentuh kad yang diberikan kepada mereka  pada sensor yang ada pada mesin itu, lalu bekalan beras sebanyak 2kg akan dikeluarkan pada ruangan bahagian bawah.

Pada masa yang sama, mesin itu turut berfungsi sebagai tabung, di mana orang ramai boleh membuat sumbangan wang tunai ke dalamnya. 

Wang terkumpul akan digunakan untuk membeli bekalan beras.

Mesin ATM beras itu adalah dari Indonesia bagi membantu golongan kurang berkemampuan di negara itu dan ia telah tular di media sosial tempatan sekitar tahun lalu. - Bernama

ATM beras

Artikel Lain