suria

Kadar levi buruh asing yang sudah bekerja lebih 10 tahun diturunkan untuk kurangkan beban majikan

Gambar hiasan.

KERAJAAN akan menurunkan yuran levi terhadap pekerja asing yang bekerja di negara ini lebih 10 tahun, bermula pada Mac ini.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, Kabinet membuat keputusan itu pada mesyuarat 20 Feb untuk mengurangkan beban majikan.

Penurunan kadar levi akan dikenakan kepada lima sektor iaitu pembuatan, perkhidmatan, pembinaan, pertanian dan perladangan, mulai 1 Mac 2019 hingga 29 Feb, 2020.

Bagi sektor pembuatan, perkhidmatan dan pembinaan; levi akan diturunkan daripada RM10,000 kepada RM6,000, manakala bagi sektor pertanian dan perladangan akan dikurangkan daripada RM3,500 kepada RM2,000.

"Kerajaan prihatin terhadap cabaran yang dihadapi oleh perniagaan dan industri dalam keadaan global yang berdepan dengan ketidakpastian," kata Guan Eng dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Namun, tiada perubahan dalam yuran levi untuk pekerja domestik.

Pada September lalu, Guan Eng berkata majikan perlu membayar levi keseluruhan sebanyak RM10,000 dan bukannya pekerja mahir membayar sebahagian besar daripadanya seperti yang dirancang.

Sehari sebelum itu, kerajaan mengumumkan bahawa pekerja asing yang telah bekerja di negara ini lebih daripada 10 tahun perlu membayar 80% levi tersebut (RM8,000), manakala majikan pula menyelesaikan baki 20% untuk lanjutan selama tiga tahun. - The Star

levi pekerja asing

Artikel Lain