suria

Dakwaan sabotaj kerajaan sebab tak siar ucapan menteri, Gobind kata “RTM tak boleh dipersalahkan”

Gobind Singh Deo.

SUSULAN dakwaan Radio Televisyen Malaysia (RTM) mensabotaj kerajaan Persekutuan kerana tidak menyiarkan secara langsung ucapan dua menteri pada Majlis Sambutan Tahun Baharu Cina peringkat kebangsaan, di Seremban, Ahad lalu, Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo memberi penjelasan berhubung kekecohan itu.

Gobind berkata, RTM telah memberikan laporan sebagaimana yang diminta beliau berhubung aduan yang dibangkitkan.

Menurutnya, prosedur operasi standard (SOP) RTM menyatakan dengan jelas bahawa apabila perdana menteri menghadiri sesebuah majlis rasmi, maka hanya ucapannya yang akan disiarkan secara langsung melalui saluran itu.

“Maka RTM tidak boleh dipersalahkan kerana tidak mengudarakan ucapan seorang menteri dan menteri besar Negeri Sembilan di majlis berkenaan, memandangkan perdana menteri turut hadir dan berucap di majlis berkenaan.

“Walaupun wujudnya SOP tersebut, masih ada ruang bagi pihak penganjur sesebuah acara untuk berbincang dengan RTM untuk membuat perubahan kepada perkara-perkara yang perlu disiarkan secara langsung di sesuatu acara,” katanya dalam satu kenyataan pada petang Khamis.

Dr Wan Azizah (tiga, kiri) ketika menunggu ketibaan Dr Mahathir pada Rumah Terbuka Malaysia Tahun Baharu Cina 2019 di Seremban, Ahad lalu. Turut hadir, Menteri Kewangan Lim Guan Eng (dua, kanan), Anthony Loke (kanan) dan Aminuddin (dua, kiri). Foto Bernama

Gobind berkata, perbincangan itu termasuk memberikan liputan secara langsung bagi individu lain, lebih daripada apa yang tertera dalam SOP, berdasarkan nilai berita bagi sesebuah acara tersebut.

Malangnya dalam kes tersebut, beliau memberitahu tiada permintaan seumpamanya dilakukan oleh pihak berkenaan.

“Maka RTM dalam mematuhi SOP, dengan tepat hanya menyiarkan ucapan perdana menteri secara langsung dalam majlis tersebut,” katanya sambil menambah bahawa ia dilakukan dengan persetujuan pihak penganjur iaitu Kementerian Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan.

Tambah Gobind, beliau tidak akan teragak-agak untuk memberi teguran kepada mana-mana pihak, dengan niat untuk memperbaiki perkhidmatan pihaknya di RTM.

"Namun dalam hal ini, RTM tidak melakukan apa juga yang salah. Apa yang dilakukan bertepatan dengan apa yang telah diatur dengan pihak penganjur dan SOP yang terpakai untuk majlis sedemkian," katanya.

RTM dalam mematuhi SOP, dengan tepat hanya menyiarkan ucapan perdana menteri secara langsung dalam majlis tersebut.

Gobind Singh Deo

Menteri Komunikasi dan Multimedia

Dr Mahathir bersalaman dengan tetamu. Turut kelihatan Guan Eng (kanan), Anthony Loke (kiri) dan Aminuddin (dua, kanan) dan Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Mohamadin Ketapi (tiga, kanan). Foto Bernama

Ahad lalu, Setiausaha Akhbar Menteri Pengangkutan, Lim Swee Kuan menerusi laman sosial peribadinya mendakwa RTM cuba mensabotaj kerajaan Persekutuan.

Perkara itu berbangkit selepas RTM tidak menyiarkan ucapan Anthony Loke, yang juga ahli Parlimen Seremban dan Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun ketika sambutan Rumah Terbuka Tahun Baharu China peringkat kebangsaan di Seremban.

Turut hadir ketika acara itu adalah Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Loke bagaimanapun menafikan mengarahkan pegawainya membuat aduan berkaitan ucapannya yang tidak disiarkan secara langsung oleh RTM, dan menganggap ia sebagai pandangan peribadi.

Beliau bagaimanapun menyerahkan perkara tersebut kepada Gobind untuk menyiasat insiden itu.

Artikel Lain