suria

Papagomo akan buat laporan polis terhadap Syed Saddiq

Papagomo.

PENULIS blog, Papagomo akan membuat laporan polis terhadap Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berhubung dakwaan beliau menyerang Ketua Pemuda Bersatu itu.

Papagomo atau nama sebenarnya Wan Muhammad Azri Wan Deris dibebaskan dengan jaminan polis pada Rabu, selepas direman tiga hari kerana didakwa menyerang Syed Saddiq pada 16 Februari lalu.

Mengulas mengenai isu tersebut, Ketua Pemuda Umno, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, polis mendapati ia hanya salah faham dan menasihatkan Papagomo membuat laporan polis.

"Dia terpaksa menghabiskan masa di dalam lokap kerana laporan palsu Syed Saddiq yang mendakwa Papagomo melakukan serangan mencekak lehernya.

"Itu bukan mencekak leher, tetapi pelukan. Dia letak tangannya atas bahu Syed Saddiq," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: "Kena berani kerana benar" - Syed Saddiq tak tarik balik laporan polis

Asyraf mendakwa Papagomo yang juga exco Pemuda Umno, melakukannya kerana menganggap Syed Saddiq sebagai teman rapatnya tetapi kecewa kerana insiden itu dipergunakan untuk meraih sokongan politik.

Tambahnya, Pemuda Umno mempunyai batasan dan tidak akan mempertahankan Papagomo sekiranya dia bersalah.

Asyraf menambah bahawa Syed Saddiq juga melanggar peraturan yang ditetapkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dengan melepasi zon Barisan Nasional (BN) di pusat penamaan calon di Dewan Sri Cempaka.

"Itu adalah satu bentuk provokasi, tetapi saya beri dia peluang untuk memperbetulkan keadaan kerana dia mungkin tersilap penyokong-penyokong dari Parti Sosialis Malaysia dengan Pakatan Harapan berikutan kedua-duanya menggunakan warna merah," katanya semasa mengiringi calon BN bagi PRK Semenyih, Zakaria Hanapi dalam kempennya di Kampung Sesapan Batu Minangkabau, di Semenyih pada Khamis.

Pada 16 Februari lalu, Syed Saddiq yang juga Ahli Parlimen Muar, mendakwa diserang oleh sekumpulan penyokong BN selepas proses penamaan calon PRK Semenyih di Dewan Seri Cempaka Majlis Perbandaran Kajang (MPKJ). - The Star 

Papagomo, Syed Saddiq

Artikel Lain