Budak 5 tahun mati dipercayai didera bapa tiri, ibu - Semasa | mStar

Budak 5 tahun mati dipercayai didera bapa tiri, ibu

SEORANG kanak-kanak lelaki berusia lima tahun meninggal dunia di Klinik Kesihatan Padang Rumbia, Pekan petang Rabu dipercayai menjadi mangsa dera bapa tiri dan ibunya.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pahang, Datuk Othman Nayan berkata, mangsa Muhammad Hafiz Abdullah sebelum itu telah dibawa ke klinik kesihatan berkenaan pada 4 petang untuk mendapatkan rawatan, namun setelah diperiksa mangsa didapati telah meninggal dunia.

“Pemeriksaan awal oleh doktor mendapati terdapat kesan cedera disyaki akibat penderaan iaitu kesan lebam baru di dada, kesan cucuh api rokok di tapak kaki, bibir pecah, lebam sebelah mata kanan serta luka-luka kecil baru di bahagian kening kanan.

“Mayat kini berada di Hospital Pekan dan akan dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) Kuantan bagi tujuan bedah siasat pada untuk mengetahui punca kematian,” katanya dalam kenyataan kepada media di Kuantan, Khamis.

Othman berkata, hasil soal siasat yang dilakukan, bapa tiri mangsa berusia 54 tahun mengaku ada memukul mangsa pada hari kejadian.

Berikutan itu polis menahan suspek bersama ibu kandung mangsa yang berusia 25 tahun bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan. - Bernama

Lebih Artikel