Papagomo dibebas dengan jaminan polis - Semasa | mStar

Papagomo dibebas dengan jaminan polis

EXCO Pemuda Umno Wan Muhammad Azri Wan Deris atau lebih dikenali sebagai Papagomo yang direman tiga hari bagi membantu siasatan kes melibatkan Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, dibebaskan dengan jaminan polis pada Rabu.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kajang Supt Mohd Sabri Abdullah berkata  lelaki itu dibebaskan selepas pihak polis menyelesaikan proses siasatan.

“Kertas siasatan akan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya Selangor dalam masa terdekat untuk mendapatkan arahan lanjut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Wan Muhammad Azri, 36, direman bermula Isnin lepas bagi membantu siasatan dakwaan serangan ke atas Syed Saddiq di Kajang pada Sabtu.

Dalam kejadian 10.45 pagi itu, Anggota Parlimen Muar berkenaan mendakwa beliau diserang sekumpulan penyokong pembangkang sebaik keluar dari pusat penamaan calon Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih yang berlangsung di Dewan Seri Cempaka Majlis Perbandaran Kajang (MPKJ).

Video insiden provokasi berdurasi 22 saat itu turut tular dalam media sosial yang menunjukkan Syed Saddiq dibawa keluar dari kawasan berkenaan dengan kawalan ketat polis.

Dalam pada itu, Mohd Sabri berkata polis telah menerima sebanyak 19 laporan polis sepanjang tempoh kempen PRK tersebut sejak Sabtu lepas dengan tiga kertas siasatan dibuka melibatkan kesalahan menurut Seksyen 24 B (3) Akta Pilihan Raya 1954 iaitu bagi kesalahan memberi ceramah tanpa permit.

“Pihak polis menasihatkan agar parti-parti yang terlibat mematuhi Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 sepanjang PRK berkenaan,” katanya.

Katanya polis telah meluluskan 51 permit bagi aktiviti kempen politik PRK tersebut setakat ini.

Pengundian PRK itu akan berlangsung pada 2 Mac ini sementara undi awal pada 26 Februari. -Bernama

Papagomo , bebas

Lebih Artikel