Selepas 395 laporan polis, lelaki hina Nabi Muhammad SAW direman tiga hari - Semasa | mStar

Selepas 395 laporan polis, lelaki hina Nabi Muhammad SAW direman tiga hari

LELAKI berusia 68 tahun yang dipercayai memuat naik status menghina Nabi Muhammad SAW di akaun Facebook Foo Sing Wai direman selama tiga hari bermula Rabu sehingga Jumaat bagi membantu siasatan.

Ketua Polis Negara Tan Sri Mohamad Fuzi Harun dalam kenyataan berkata suspek direman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 298A Kanun Keseksaan (atas alasan agama menyebabkan suasana tidak harmoni, perpecahan atau pemusuhan, benci membenci atau niat jahat atau memudaratkan, pemeliharaan keadaan harmoni atau perpaduan).

Beliau berkata suspek turut disiasat mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian dan lain-lain).

Menurutnya, PDRM menerima 395 laporan polis dari seluruh negara ekoran terkesannya status hinaan yang dibuat terhadap Nabi Muhammad SAW di sebuah laman Facebook itu.

"PDRM ingin menasihatkan orang ramai agar tidak menyalahgunakan media sosial atau sebarang rangkaian komunikasi dengan memuat naik atau berkongsi sebarang bentuk provokasi yang boleh menyentuh sensitiviti agama dan perkauman, sehingga membangkitkan ketegangan kaum dalam kalangan masyarakat majmuk di negara ini," katanya.

Bernama pada Selasa melaporkan polis menahan seorang warga emas berusia 68 tahun di sebuah taman perumahan di Mentakab, Temerloh, pada pukul 11.30 pagi bagi membantu siasatan kes berkenaan.

Sebelum ini, beberapa laporan polis dibuat terhadap seorang pemilik akaun Facebook menggunakan nama Foo Sing Wai yang didakwa menghina Nabi Muhammad SAW dan isteri baginda Saidatina Aisyah.

Perbuatan itu menimbulkan kemarahan umat Islam di seluruh negara kerana disifatkan amat keterlaluan dan melampau.-Bernama

Hina Nabi , Facebook

Artikel Sebelum

Papagomo dibebas dengan jaminan polis

Artikel Lain