suria

Ahmad Zahid ke mahkamah lagi, berdepan pertuduhan ke-47

Presiden Umno Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi (tengah) ketika hadir ke Mahkamah Sesyen, Rabu bagi menghadapi pertuduhan tambahan pecah amanah berjumlah RM260,000 milik Yayasan Akalbudi, tiga tahun lepas.

PRESIDEN Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi didakwa sekali lagi di Mahkamah Sesyen di ibu negara pada Rabu atas satu pertuduhan tambahan pecah amanah.

Ahli Parlimen Bagan Datuk itu didakwa menggunakan sejumlah RM260,000 dana milik Yayasan Akalbudi untuk membuat bayaran kepada TS Consultancy and Resources, tiga tahun lalu.

Ahmad Zahid, 66, yang merupakan bekas Timbalan Perdana Menteri, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan tambahan itu dibacakan di hadapan Hakim Azura Alwi.

Beliau yang juga pengerusi yayasan itu didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang boleh membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda jika bersabit kesalahan.

Tarikh sebutan semula kes berkenaan ditetapkan pada 28 Februari ini.

Sebelum ini, Ahmad Zahid didakwa dengan 46 pertuduhan melibatkan 11 kesalahan pecah amanah melibatkan RM20,833,733.69, lapan dakwaan rasuah sebanyak RM21,250,000 dan 27 tuduhan pengubahan wang haram membabitkan RM72,063,618.15.

Beliau mengaku tidak bersalah atas semua pertuduhan terbabit.

Ahmad Zahid, Umno, pecah amanah

Artikel Lain