suria

Dakwaan pentadbiran negara dikuasai DAP hanya naratif PAS

Lim Guan Eng

SETIAUSAHA Agung DAP Lim Guan Eng menyifatkan dakwaan mengatakan pentadbiran negara dikuasai DAP hanyalah naratif dibuat oleh PAS yang sengaja mahu menimbulkan isu perkauman dan ekstremisme agama.

Beliau berkata dakwaan PAS itu juga ibarat sengaja mahu menimbulkan kebencian rakyat terhadap golongan bukan Islam dan bukan Melayu di negara ini.

Katanya, dakwaan PAS mengatakan negara dikuasai pemimpin bukan Islam dilihat 'menyimpang' daripada hakikat sebenar sedangkan pemimpin tertinggi negara dan semua pasukan keselamatan diketuai oleh orang Islam.

"Saya kesal mereka (PAS) semata-mata nak selamatkan masa depan politik mereka dengan menimbulkan perasaan benci kepada orang bukan Islam sehingga mengatakan orang bukan Melayu tak boleh jadi menteri.

"Ia menyimpang daripada Perlembagaan Persekutuan. Kenapa nak salahkan orang bukan Islam dan orang bukan Melayu atas kegagalan PAS?" katanya kepada pemberita ketika menghadiri sambutan Chap Goh Mei anjuran Persatuan Hokkien Klang, di sini malam Selasa

Jelas beliau, isu perkauman dan ekstremisme agama yang cuba ditimbulkan PAS hanyalah semata-mata untuk 'melindungi' parti tersebut yang sedang dikaitkan dengan dakwaan menerima dana daripada UMNO.

Dalam pada itu, ditanya mengenai kenyataan Ketua Pemuda PAS Muhammad Khalil Abdul Hadi di laman sosial mencabarnya dan DAP menyatakan persetujuan mereka supaya Tun Dr Mahathir Mohamad terus menjadi Perdana Menteri sehingga Pilihan Raya Umum ke-15, Lim menyatakan "Dia (Muhammad Khalil) bukan daripada Pakatan Harapan pun," katanya.

Tambah Menteri Kewangan itu lagi, adalah lebih baik Muhammad Khalil memberi penjelasan mengenai isu penerimaan wang oleh PAS daripada UMNO berbanding membangkitkan perkara yang tidak berkaitan dengan parti Islam tersebut.- BERNAMA   

Lim Guan Eng, DAP, PAS

Artikel Berikut

Artikel Lain