Berita baik! Orang bujang bakal terima RM100 - Semasa | mStar

Berita baik! Orang bujang bakal terima RM100

Gambar hiasan.

BERITA baik buat orang bujang! Kerajaan memperkenalkan Bantuan Sara Hidup (BSH) kepada golongan bujang dengan bayaran sebanyak RM100, berbanding sebelum ini yang lebih mengutamakan kategori keluarga.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, bayaran tersebut akan dibuat pada akhir Mac 2019 dan dimasukkan terus ke akaun bank mereka. 

"Sebagai permulaan, Kementerian Kewangan akan membuat bayaran RM100 kepada setiap individu yang terdaftar di bawah kategori bujang dalam pangkalan data BSH 2018.

"Bayaran ini akan memanfaatkan lebih 3 juta individu dan melibatkan peruntukan RM300 Juta," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Berhubung bayaran selanjutnya, Guan Eng memberitahu, kadar bantuan BSH bagi 2019 untuk golongan bujang akan dikaji semula dan dibentangkan kepada barisan menteri Kabinet untuk dimuktamadkan.

Beliau berkata, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin telah menyarankan supaya turut membantu anak muda yang belum berkahwin dan bekerja tetapi berpendapatan kecil.

Tambahnya, saranan tersebut juga menepati hasrat kerajaan berjiwa rakyat yang prihatin.

Berdasarkan keputusan Kabinet tahun lalu, kerajaan menyediakan BSH pada 2019 dengan mengutamakan keluarga dan telah menyediakan kadar tambahan mengikut bilangan anak di bawah tanggungan. 

Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) yang diperkenalkan kerajaan terdahulu dijenamakan semula kepada BSH selepas Pakatan Harapan mengambil alih Putrajaya.

Guan Eng semasa pembentangan Belanjawan 2019 pada 2 November 2018 berkata, kerajaan akan mengekalkan bantuan tunai untuk membantu golongan berpendapatan rendah.

Lim Guan Eng , BSH , Bantuan Sara Hidup , BR1M

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Lebih Artikel