suria

Kecoh apabila orang ramai berebut-rebut angpow kedai emas

SUASANA sekitar Lebuh Bishop menjadi kecoh seketika apabila hampir 300 orang berebut-rebut di sebuah premis peniaga emas di sini bagi mendapatkan angpow dan lain-lain cendera hati, yang sebenarnya hanya dikhaskan kepada kelompok warga emas dan orang kurang upaya (OKU) sahaja sempena sambutan Chap Goh Mei.

Ada yang kelihatan terjatuh di lantai, dan tangisan kanak-kanak pula memburukkan lagi hiruk-pikuk suasana, semasa para petugas keselamatan bertungkus lumus berusaha mengawal keadaan dan meminta mereka untuk berbaris dengan teratur.

Bernama difahamkan syarikat itu sebenarnya mengeluarkan hanya 200 kupon khusus buat warga emas dan OKU di kuil Khoo Kong Si dua minggu lepas, yang kemudiannya boleh ditebus untuk mendapatkan hadiahnya di Georgetown, Selasa.

“Namun nampaknya lebih 200 orang muncul hari ini, mungkin mereka yang tidak mendapat kupon itu dengar kami akan mengagihkan hadiah hari ini, dan mereka datang juga dengan harapan berpeluang dapat juga hadiahnya,” kata seorang petugas syarikat itu.

Keadaan akhirnya tenang dan majlis penyampaian berjalan dengan lancar beberapa minit kemudiannya.-- Bernama

angpow, Chap Goh Mei, Lebuh Bishop

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain