suria

Perokok masih ingkar patuhi larangan merokok di kedai makan

Kelihatan beberapa pelanggan sebuah restoran terpaksa menyeberang jalan untuk merokok ketika tinjauan di sekitar daerah Sandakan pada Selasa. - Bernama

KUALA LUMPUR: Semua premis makanan telah diwartakan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sebagai tempat larangan merokok berkuat kuasa pukul 12 tengah malam Selasa.

Bagaimanapun, tinjauan Bernama di ibu kota, sekitar Kampung Baru, Datuk Keramat dan Jalan Tunku Abdul Rahman pagi ini mendapati masih ada yang mengingkari larangan berkenaan.

Malah mereka juga turut merokok kurang daripada jarak yang telah ditetapkan oleh KKM iaitu tiga meter daripada sebuah premis makanan beroperasi.

Selain itu, tidak banyak papan tanda larangan merokok dipasang di premis-premis makan sekitar kawasan itu.

Pelayan wanita sebuah kedai makan, Anisah Amin, 20, berkata masih ramai yang datang ke gerainya yang dibuka seawal 7 pagi, merokok terutamanya selepas selesai makan pagi dalam jarak larangan tidak dibenarkan merokok.

Dua lelaki masih merokok di kawasan sebuah restoran ketika tinjauan di sekitar bandaraya George Town pada Selasa. - Bernama

Mungkin larangan itu masih di peringkat awal dan pelanggan lupa bahawa hari ini (Selasa) bermulanya perwartaan larangan merokok.

“Kita nak nasihat pun tak sedap juga terutama pelanggan yang tidak kenal, tapi kalau pelanggan tetap memang pesanlah,” katanya.

Pada Isnin, Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah dalam kenyataannya berkata orang ramai diminta untuk tidak merokok di mana-mana tempat makan sama ada berhawa dingin atau tidak berhawa dingin.

Ini termasuklah di dalam dan luar bangunan kawasan kedai makan, restoran dan medan selera. 

Ia meliputi semua gerai makan dan kenderaan bergerak yang menyediakan kemudahan meja dan kerusi untuk makan dan minum serta semua restoran yang berada di atas kapal dan kereta api.

Tambah Noor Hisham, mana-mana individu yang didapati melakukan kesalahan merokok di tempat larangan boleh didenda sehingga RM10,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun di bawah Peraturan 11, Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau 2004.

larangan merokok

Artikel Lain