suria

Bukan perokok lega, tidak perlu risau asap rokok lagi

SHAH ALAM: Penguatkuasaan larangan merokok di kedai makan bermula tengah malam tadi nyata disyukuri sebahagian masyarakat khususnya ibu bapa yang mempunyai anak kecil kerana tidak perlu lagi risau terdedah kepada bahaya asap rokok ketika menikmati hidangan di luar.

Seorang ibu, Norul Fyfy Nabila Hanim Husan Hussin, 27, berkata dia amat berterima kasih atas larangan itu yang menurutnya sangat sesuai dalam menjaga keselesaan pengunjung di kedai makan, baik yang merokok mahupun bukan perokok.

Dia yang mempunyai anak perempuan berusia kira-kira setahun, mengakui kerap makan di luar kerana kekangan masa untuk memasak di rumah disebabkan dia dan suami bekerja.

"Larangan ini bagus, yang tidak merokok selesa dan bagi perokok mereka hanya boleh merokok pada jarak 10 meter dari kedai makan, jauh daripada pengunjung lain dan tidak perlu tengok kiri kanan kalau-kalau ada pengunjung berhampiran yang tidak selesa," katanya.

Larangan berkenaan memperuntukkan individu yang didapati melakukan kesalahan merokok di tempat larangan boleh didenda sehingga RM10,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun di bawah Peraturan 11, Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau 2004.

Bagi pemilik, pengusaha atau tuan punya premis atau kenderaan yang gagal mempamerkan tanda larangan merokok yang jelas boleh dikenakan tindakan denda sehingga RM3,000 atau penjara tidak melebihi enam bulan di bawah Peraturan 12, Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau 2004.

Untuk kesalahan gagal memastikan tiada orang merokok dan menyediakan kemudahan untuk merokok boleh dikenakan denda tidak melebihi RM5,000 atau penjara sehingga setahun.

Sementara itu tinjauan Bernama di beberapa buah kedai makan di sini mendapati rata-rata pemilik kedai makan akur dengan arahan berkenaan.

Seorang pengusaha kedai makan yang hanya mahu dikenali sebagai Bashir berkata pewartaan kedai makan sebagai tempat larangan merokok sedikit-sebanyak dapat mengurangkan beban pekerjanya.

"Perokok kadang-kadang buang puntung dan abu rokok atas lantai, atas meja jadi pekerja saya kena sapu dan lap lantai selalu," katanya.

Dia juga berpandangan perniagaannya tidak akan terjejas berikutan larangan itu.

"Jika tidak boleh merokok di kedai makan, kawasan 10 meter dari kedai makan boleh merokok, kawasan parkir boleh merokok, jadi ia bukan isu besar," katanya. - BERNAMA

rokok