Mansuh tol: Langkah kerajaan penuhi janji manifesto PH dalam PRU14 - Guan Eng

Guan Eng mengumumkan kerajaan akan memansuhkan tol motosikal di Jambatan Pertama dan Kedua di Pulau Pinang serta Lebuhraya Laluan Kedua, Johor, mulai 1 Jan 2019. - Bernama

GEORGE TOWN: Pemansuhan tol motosikal di tiga laluan yang berkuat kuasa tengah malam Selasa adalah sebahagian usaha kerajaan untuk memenuhi manifesto Pakatan Harapan (PH) pada pilihan raya umum lalu, kata Menteri Kewangan Lim Guan Eng.

Beliau berkata keputusan itu adalah langkah permulaan  ke arah pemansuhan sepenuhnya tol di negara ini.

"Tapi kita kena terima hakikat bahawa oleh kerana skandal 1MDB (1Malaysia Development Berhad) dan juga kedudukan kewangan akibat skandal 1MDB tidak membolehkan kita melaksanakannya dengan segera. Ini yang terus kita berusaha tapi sekarang kita nak pulihkan kedudukan fiskal kita terlebih dahulu.

"Di sini kita tak sebut dengan hapuskan tol motosikal sudah, itulah penamatnya… tidak, kita akan terus berusaha (menghapuskan tol). Sekiranya kedudukan fiskal adalah lebih baik daripada yang kita jangka mungkin ada berita baik lagi," katanya kepada pemberita selepas melancarkan projek naik taraf lif Perumahan Kastam Bukit Gelugor, di sini pada Selasa.

Pada pembentangan Belanjawan 2019, 2 Nov lepas, Lim mengumumkan kerajaan akan memansuhkan tol motosikal di Jambatan Pertama dan Kedua di Pulau Pinang serta Lebuhraya Laluan Kedua, Johor, mulai 1 Jan 2019 dengan implikasi kewangan kira-kira RM20 juta setahun.

Lim yang juga Anggota Parlimen Bagan, berkata pihaknya yakin kedudukan fiskal negara akan kembali pulih dalam tempoh tiga tahun akan datang dan beliau berharap rakyat bersabar serta memberi kepercayaan kepada kerajaan PH untuk memulihkan ekonomi negara.

Para penunggang motosikal dengan perasaan gembira memasuki Jambatan Pulau Pinang tanpa dikenakan tol. - Bernama

"Tentulah kita harus tabah hati seperti yang saya sebut bahawa dalam tiga tahun kita yakin kita dapat pulihkan kedudukan fiskal dan balik ke pangkal jalan untuk memenuhi matlamat dan sasaran menjadi sebuah ekonomi maju dan berpendapatan tinggi.

“Tapi rakyat mesti berusaha secara bersama, jangan biarkan pihak tertentu yang tidak bertanggungjawab untuk pecah-belahkan rakyat dan cuba menutup skandal rasuah," katanya.

Ditanya sama ada kerajaan akan menghapuskan tol selepas tempoh tiga tahun tersebut, beliau berkata kerajaan akan berusaha ke arah itu.

Sementara itu, mengulas mengenai harga minyak, Lim menolak dakwaan sesetengah pihak bahawa kerajaan PH mengikut kaedah yang sama dengan kerajaan terdahulu.

Menurutnya berbeza dengan kaedah lama yang digunakan kerajaan Barisan Nasional, kerajaan PH menetapkan harga runcit produk petroleum pada paras tidak melebihi RM2.20 seliter melalui pemberian subsidi.

"Ada orang cakap kita ikut cara yang lama. Tidak...cara lama mana ada had, kerajaan PH baru ada had. Itulah inovasi oleh pihak kerajaan persekutuan PH yang dipuji oleh semua pihak bahawa kita nak pastikan pengguna boleh menikmati penurunan harga minyak.  

"Sekarang harga minyak turun, pengguna boleh dapat manfaat setiap minggu. Tapi sekiranya harga minyak naik kita akan sekat pada tahap RM2.20 dan selebihnya akan ditanggung oleh kerajaan menerusi subsidi, yang lain-lain itu kita cerita enam bulan lagi… tak payah keliru," katanya. - Bernama

tol motosikal

Artikel Lain