suria

Polis panggil pegawai AirAsia selepas muat naik video ulat sampah di KLIA2

Bintik-bintik putih ini merupakan ulat sampah pada sebuah tong sampah yang dirakam oleh Aziz di KLIA2.

PETALING JAYA: Seorang kakitangan AirAsia dipanggil oleh pihak polis kerana memuat naik video rungutan terhadap piawaian kebersihan yang teruk di KLIA2 ke media sosial.

Ketua Perhubungan AirAsia, Mohd Aziz Laikar memuat naik video tersebut di Twitter pada Isnin yang menunjukkan sebuah tong sampah dipenuhi ulat di KLIA2.

Beliau mempersoalkan kenyataan Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) yang berbangga dengan pencapaian mereka dalam pengurusan lapangan terbang pada Oktober.

"@MY_Airports hari ini (Isnin) mengeluarkan kenyataan bangga mengatakan KLIA & #klia2 telah melebihi sasaran kualiti perkhidmatan yang ditetapkan oleh Kerangka Kualiti Perkhidmatan (QoS) Mavcom.

"Ini adalah video anai-anai pada tong sampah yang diletakkan di pintu p6 pada pagi ini berhampiran pintu pelepasan ke Perth," tulis Aziz.

Beliau kemudian menjelaskan bahawa ia adalah ulat sampah dan bukannya anai-anai.

Menurut laporan MalayMail, keterangan Aziz akan diambil pada Rabu kerana mencalarkan imej MAHB.

"Polis berkata, perkataan yang saya gunakan mencalarkan imej MAHB.

"Itulah kenyataan yang digunakan. Laporan itu adalah berdasarkan niat saya yang didakwa bertujuan mencalarkan imej MAHB.

"Ini semua fakta yang ada, dan saya hanya dapat memberi maklumat lebih lanjut sebaik sahaja saya bertemu polis pada Rabu bersama peguam AirAsia.

"Saya telah memaklumkan pengurusan tertinggi tentang laporan itu dan mereka telah menyatakan solidariti terhadap saya," kata Aziz kepada MalayMail.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia, Tan Sri Tony Fernandes (gambar) turut menyelar isu itu dengan mengatakan bahawa ia tidak masuk akal dan sedih.

Posting yang dimuat naik oleh Mohd Aziz di Twitter.

"Bukan kali pertama kami dilaporkan kerana bercakap benar, mereka selalu menggunakan budaya pembuli dan mengancam, dan kami tidak akan membiarkannya.

"Sekiranya mereka enggan menjadi telus, ia membuatkan saya tertanya-tanya apa lagi yang mereka cuba untuk sembunyikan?

"Mereka boleh bertindak balas dengan resolusi yang baik ketika laporan itu dibuat, tetapi mereka memilih untuk menjadi defensif dan melakukan serangan," kata Fernandes melalui akaun Facebook.

Beliau menambah bahawa AirAsia tidak akan tunduk lagi dan kebenaran akan sentiasa ditunjukkan.

Syarikat penerbangan itu mempunyai hubungan tegang dengan MAHB sebelum ini.

AirAsia telah membuat aduan berulang kali mengenai kelemahan penyelenggaraan lapangan terbang oleh pihak MAHB. - The Star

AirAsia, MAHB, anai-anai

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain