"Saya tidak masuk politik untuk 'play safe', jadi pak turut" - Syed Saddiq - Semasa | mStar

"Saya tidak masuk politik untuk 'play safe', jadi pak turut" - Syed Saddiq

Syed Saddiq Syed Abdul Rahman

MUAR: Ketua Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata beliau bersedia diambil tindakan jika perbuatannya membenarkan Armada mendesak Menteri di Jabatan Perdana Menteri P. Waythamoorthy meletak jawatan, adalah salah.

Menteri Belia dan Sukan itu berkata sebagai Ketua Armada beliau bertanggungjawab membenarkan rakan-rakannya bersuara dan tidak membukukan perasaan mereka kerana percaya dengan slogan ‘berani kerana benar', malah beliau sendiri tidak akan meminta maaf dalam menyatakan pendapat.

"Saya tidak masuk politik untuk 'play safe', saya tidak masuk politik untuk jadi 'pak turut'. Saya tidak masuk politik untuk membisukan mulut dan memekakkan telinga apabila rakyat sudah pun bersuara.

"Jangan sesekali ingat kamu boleh mendiamkan anak muda ini," katanya menerusi kenyataan.

Beliau berkata demikian bagi menjawab Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang, P Ramasamy yang membidas Syed Saddiq, susulan tuntutan Armada mendesak Waytha Moorthy meletak jawatan.

Syed Saddiq berkata beliau kesal apabila pimpinan Armada dituduh mengkhianati Pakatan Harapan, memainkan sentimen perkauman dan menyamakan Armada seperti UMNO dan PAS.

“Perkara ini tidak ada kaitan dengan perkauman. Ini adalah mengenai bersetuju untuk tidak bersetuju, mengenai tidak menekan hak rakyat untuk secara bebas menyatakan pandangan mereka,” katanya.- BERNAMA.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain