suria

Zainuddin Maidin meninggal dunia

PETALING JAYA: Bekas Menteri Penerangan, Tan Sri Zainuddin Maidin meninggal dunia pada petang Jumaat.

Allahyarham menghembuskan nafas terakhirnya pada usia 79 tahun di Hospital Serdang, Selangor.

"Zainuddin Maidin telah kembali ke rahmatullah pada Jumaat, pukul 6.40 petang disebabkan serangan jantung," menurut satu kenyataan daripada keluarganya pada Jumaat, sambil menambah Allahyarham akan dibawa ke kediamannya di Presint 10, Putrajaya, malam Jumaat.

Menurut kenyataan itu, solat jenazah akan diadakan di Surau At-Thaubah, Jalan 1, Taman Melawati di Kuala Lumpur pada pukul 9 pagi Sabtu.

"Jenazah akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Taman Melawati," tambah kenyataan itu.

Beliau yang lebih dikenali sebagai Zam juga merupakan bekas Ketua Pengarang Kumpulan Utusan Melayu.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail menerusi perkongsiannya di Twitter mengucapkan takziah buat keluarga Allahyarham Zainuddin.

"Salam takziah buat keluarga dan sahabat handai mantan Menteri Penerangan, Tan Sri Zainuddin Maidin. Semoga Allahyarham ditempatkan dalam kalangan orang beriman. Al-Fatihah."

Bekas menteri yang juga Ketua Pembangkang, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi turut meluahkan kesedihannya di atas pemergian tokoh kewartawanan itu.

"Takziah buat ahli keluarga Tokoh Kewartawanan, Allahyarham Tan Sri Zainuddin Maidin baru meninggal dunia. Hilang sebutir permata negara. Semoga rohnya ditempatkan bersama hambaNYA yang beriman. Al Fatihah."

Pada pertengahan November lalu, Zainuddin dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Putrajaya di Putrajaya, akibat masalah paru-paru berair.

Zainuddin mendapatkan rawatan di hospital berkenaan sejak 12 November lalu selepas anggota keluarganya bimbang keadaannya setelah beliau mengadu sakit dada dan lelah sebelum pihak hospital menempatkannya di ICU setelah dikesan paru-parunya berair.

Allahyarham dilahirkan pada 29 Jun 1939 di Kota Kuala Muda, Kedah.

Pembabitan beliau dalam dunia kewartawanan apabila menjadi wartawan sambilan (stringer) di Utusan Melayu di Alor Setar pada 1951, sebelum berpindah ke Kuala Lumpur sebagai pemberita tetap di syarikat yang sama pada 1961.

Zainuddin dilantik sebagai Ketua Pengarang Kumpulan Utusan Melayu pada 1983, berikutan pengalamannya yang begitu luas dalam bidang kewartawanan.

Dalam pilihan raya umum 2004, beliau memenangi kerusi Parlimen Merbok, dan menerusi rombakan kabinet pada Februari 2006, Tun Abdullah Ahmad Badawi melantik beliau menjadi Menteri Penerangan.

Allahyarham meninggalkan balu, Puan Sri Zaiton Zainol Abidin dan empat anak.

Zainuddin Maidin

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain