suria

13 ahli Parlimen masih belum isytihar harta kepada SPRM

PUTRAJAYA: Tiga belas anggota parlimen kerajaan masih belum mengisytiharkan harta kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), kata Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) SPRM, Datuk Shamshun Baharin Mohd Jamil.

Selain itu, katanya, 24 anggota pentadbiran kerajaan termasuk setiausaha politik juga belum membuat pengisytiharan harta.

Beliau berkata sehingga kini, seramai 115 atau 89.8 peratus anggota parlimen kerajaan dan  63 (72.4 peratus) anggota pentadbiran kerajaan telah mengisytiharkan harta. 

“Terpulang kepada mereka untuk mengisytiharkan harta atau tidak. Ini merupakan janji mereka kepada rakyat, maka mereka perlu melaksanakan. 

“Setakat ini, tiada undang-undang yang mewajibkan mereka membuat pengisytiharan, sebaliknya hanya menggunakan Kod Etika Anggota Pentadbiran dan Kod Etika Ahli Parlimen,” katanya kepada pemberita  selepas menghadiri Program Walk-About Perdana bersempena Hari Anti Rasuah Antarabangsa 2018 (HARA 2018) di Ibu Pejabat SPRM di sini, Ahad.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Mohd Shukri Abdull melepaskan sukarelawan program Walk-About HARA 2018 yang mengedarkan risalah dan ‘duit kosong’ kepada orang ramai untuk tingkatkan kesedaran menolak rasuah. Program itu dilaksanakan secara serentak di seluruh negara. 

Shamshun Baharin berkata, SPRM sedia membantu mereka yang masih belum mengisytiharkan harta, termasuk menghubungi setiausaha sulit dan pegawai mereka.

Portal Pengisytiharan Harta dibangunkan SPRM untuk membolehkan pengisytiharan harta dipaparkan kepada masyarakat berdasarkan kepada keputusan kerajaan untuk membuktikan ketelusan kepimpinan kerajaan. 

Shamshun Baharin berkata SPRM akan mengemukakan cadangan kepada kerajaan agar satu akta baharu atau pindaan Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah 2009 untuk mewajibkan semua ahli politik dan pegawai kanan kerajaan untuk mengisytiharkan harta. 

Beliau berkata, SPRM masih menjalankan kajian terperinci berhubung perkara tersebut.

“Kertas kabinet akan diserahkan dan pihak SPRM berharap cadangan itu akan dibentangkan di Parlimen pada April tahun depan,” katanya.

Bertemakan ‘Bersatu Menentang Rasuah’, sambutan HARA 2018 merupakan program usahasama antara SPRM bersama Tansparency International Malaysia, Yayasan Anti Rasuah Malaysia, Majlis Belia Malaysia dan Corporate Research and Investigations Group. 

Program itu bertujuan untuk meningkatkan kesedaran masyarakat agar memerangi rasuah bersama SPRM dengan memaklumkan segala aktiviti atau kesalahan rasuah kepada suruhanjaya. - Bernama

SPRM

Artikel Lain