Billion Dollar Whale edisi BM: Penerbit yakin jika Jho Low balik, buku akan lebih meletup! - Semasa | mStar

Billion Dollar Whale edisi BM: Penerbit yakin jika Jho Low balik, buku akan lebih meletup!

Buku 'Billion Dollar Whale' mengenai 1MDB dan Jho Low kini boleh didapati dalam terjemahan Bahasa Melayu. Foto AZLINA ABDULLAH

PETALING JAYA: Cetakan pertama buku mengisahkan ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau lebih dikenali sebagai Jho Low dan skandal 1Malaysia Development Bhd (1MDB) yang diterjemahkan ke Bahasa Melayu hampir habis dijual.

Naskhah yang baru dilancarkan selepas 10,000 unit cetakan pertamanya mula dipasarkan awal bulan ini adalah terbitan ZI Publications Sdn Bhd, syarikat milik bekas menteri, Datuk Zaid Ibrahim.

Pengarah Urusan ZI Publications, Rashid Azad Khan mendedahkan mendapat hak cipta bagi menerbitkan buku tersebut dalam versi terjemahan daripada penerbit, Hachette Book Group awal tahun ini, beberapa bulan sebelum Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).

“Saya ada beritahu Datuk Zaid kalau kita dah tandatangan perjanjian untuk hak terjemahan buku dalam Bahasa Melayu, dan jika kerajaan BN masih berkuasa tentu buku ini akan diharamkan. Tapi manusia merancang, Tuhan yang menentukan,” katanya pada majlis pelancaran buku tersebut dalam edisi Bahasa Melayu di kediaman Zaid, petang Sabtu.

Naskhah mengisahkan 1MDB sebagai subjek utama, mengenai rompakan wang negara digarap dengan begitu halus dan profesional itu dilancarkan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Seri Redzuan Mohd Yusof dan Zaid.

Rashid berkata, ZI Publications menerbitkan buku ini kerana isu 1MDB kurang difahami oleh masyarakat Melayu sama ada di bandar mahupun di luar bandar.

"Harapan kami adalah buku ini dapat dibaca oleh masyarakat Melayu dan mereka benar-benar faham mengenai isu yang dibincangkan di dalam buku ini dengan begitu terperinci,” katanya sambil menambah setakat ini buku tersebut diberikan hak terjemahan selain Bahasa Inggeris kepada Malaysia dan Brazil.

(Dari kiri) Rashid, Zaid dan Redzuan pada majlis pelancaran buku 'Billion Dollar Whale' edisi Bahasa Melayu, Sabtu. Foto AZLINA ABDULLAH

Menurut Rashid, selepas kejatuhan kerajaan terdahulu di bawah BN pada PRU-14, ramai yang menyangka bahawa isu 1MDB tidak memberi kesan kepada negara.

“Kita harap buku ini dapat menjawab segala-galanya dan lebih ramai membaca buku ini dan lebih jelas subjek yang dibincangkan,” katanya.

Memetik kenyataan bekas Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein sebelum ini sebagai berkata, terdapat usaha untuk menangkap Jho Low.

“Saya nak ulang pada hari ini... siapa-siapa yang boleh bawa balik Jho Low, buku saya akan lebih meletup!

“Saya harap, sama ada kerajaan PH (Pakatan Harapan) atau mana-mana orang yang boleh mengaku untuk membawa Jho Low pulang, buatlah cepat-cepat,” katanya, sambil menambah bahawa isu 1MDB akan berterusan dalam dunia politik dan ekonomi negara.

Pada Oktober lalu, Hishammuddin dilaporkan menawarkan diri untuk membawa pulang Jho Low balik ke Malaysia sekiranya benar ahli perniagaan itu berada di China.

Bagaimanapun, kerajaan kemudian mengesahkan Jho Low tidak berada di China selepas dimaklumkan oleh kedutaan negara Republik itu, melainkan ahli perniagaan tersebut menggunakan nama lain pada pasport berlainan.

Buku berjudul ‘Billion Dollar Whale: Kisah Sebenar Jho Low dan Skandal 1MDB’ merupakan terjemahan kepada buku ‘Billion Dollar Whale: The Man Who Fooled Wall Street, Hollywood, and the World’.

Ia merupakan karya dua wartawan Wall Street Journal, Tom Wright dan Bradley Hope, dengan versi Bahasa Inggerisnya dipasarkan sejak September lalu.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Tun M tak hadir himpunan Suhakam esok

Klik

default image

Jom kongsi idea! Penduduk bandar diajak beri maklum balas draf Pelan Pembangunan KL

TRAJEKTORI perumahan dan komersial Kuala Lumpur diberikan perhatian dengan mendraf Pelan Pembangunan Kuala Lumpur 2040 (PPKL 2040).

default image

Merangsang Korporat Malaysia, PNB rangka strategi bersama pemimpin korporat kukuhkan ekonomi negara

SEJAJAR usaha Malaysia untuk menjadi kuasa ekonomi, adalah tepat pada masanya bagi sektor korporat negara meninjau ke arah langkah-langkah perubahan.

default image

15 prinsip tulang belakang untuk capai matlamat WKB2030

LIMA belas prinsip panduan digariskan berasaskan tiga aspek penting iaitu pembangunan untuk semua, menangani jurang kekayaan dan pendapatan serta negara bersatu, makmur dan bermaruah.

default image

Ketahui 8 petunjuk bagi memantau manfaat WKB 2030 dikongsi rakyat

INDIKASI sosial sedang dibina bagi memastikan Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 (WKB 2030) memenuhi sasaran dan memberi manfaat kepada semua.

default image

Pakar ekonomi saran Malaysia laksana pembaharuan struktur

HALA tuju perdagangan dan pelaburan global memainkan peranan penting dalam ekonomi terbuka seperti Malaysia.

Artikel Lain