suria

Peserta himpunan tolak ICERD penuhi sekitar Jalan Raja, Dataran Merdeka

KUALA LUMPUR: Peserta perhimpunan menolak Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) mula memenuhi kawasan sekitar Jalan Raja, lokasi acara itu berlangsung, di sini tengah hari Sabtu.

Tinjauan Bernama mendapati mereka mula berkumpul antaranya di hadapan sebuah pusat beli-belah di Jalan Tuanku Abdul Rahman, perkarangan stesen Transit Aliran Ringan (LRT) Masjid Jamek, serta perkarangan Masjid Negara seawal 10 pagi lagi.

Anggota polis turut kelihatan mengawal dan memantau keadaan.

Terdahulu, sekumpulan pesilat menyerahkan memorandum anti-ICERD kepada wakil Istana Negara di luar kawasan istana sebelum bersurai.

Keadaan keselamatan pada keseluruhannya adalah terkawal.

Penganjur perhimpunan sebelum ini dilaporkan berkata perhimpunan itu diadakan sebagai tanda  ‘kesyukuran'  di atas keputusan kerajaan untuk tidak meratifikasikan konvensyen berkenaan dan seterusnya mempertahankan Perlembagaan Persekutuan.

Pada 23 November lepas, Pejabat Perdana Menteri dalam satu kenyataan berkata Kerajaan Pakatan Harapan tidak akan meratifikasi ICERD dan akan terus mempertahankan Perlembagaan Persekutuan yang di dalamnya termaktub kontrak sosial dipersetujui wakil semua kaum ketika pembentukan negara ini.-- Bernama


ICERD, Jalan Raja

Artikel Lain